Pengajuran Hari Buletin terima sambutan menggalakkan, wajar diteruskan

BUKIT TAMBUN – Buat julung kalinya, Hari Buletin anjuran Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri yang diadakan di Taman Tangling mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada komuniti setempat.

 

 

Susulan itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Azraie Ramli, berpendapat bahawa program tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain wajar diteruskan dalam usaha mendekati rakyat negeri ini.

 

 

“Seperti yang kita tahu, Buletin Mutiara membawa isu-isu setempat kepada masyarakat sebagai pengetahuan dan maklumat terkini.

 

 

“Jadi saya lihat acara seperti ini mampu mendekatkan lagi agensi-agensi kerajaan pada hari ini supaya lebih dekat dengan rakyat, tambahan pula pelbagai acara lain turut diadakan untuk komuniti setempat.

 

 

“Bagi FAMA, kita adakan jualan murah, hari ini juga ada pemeriksaan kesihatan percuma, program derma darah, jualan makanan, insentif-insentif kerajaan dan sebagainya yang sesuai dengan semua peringkat lapisan masyarakat,” ujar Azraie ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Buletin dekat Taman Tangling, Bukit Tambun semalam.

 

 

Hadir sama, Pengarah Komunikasi merangkap Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Yap Lee Ying; Penolong Pegawai Daerah Kanan bagi Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS), Noni Hartika Juhari; Penghulu SPS, Mohamad Saaddudin Khalid dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Ampat, Tan Tiong Hoe.

 

 

Tumpuan utama sudah tentulah bagi pertandingan mewarna dan peraduan melukis poster yang menyaksikan trio anak kepada  pasangan Siah Choon Hwa dan Ooi Ling Ling berjaya membawa pulang hadiah terbanyak.

 

 

Siah Pei Xuen, 9, berjaya membawa pulang RM300 melalui peraduan mewarna kategori  bawah 9 tahun manakala Siah Pei Zhen, 11, membawa pulang RM300 dan RM100 (mewarna 10 hingga 12 tahun dan saguhati melukis poster).

 

 

Siah Pei Shan, 13, pula berjaya membawa pulang RM400 melalui peraduan melukis poster 10 hingga 13 tahun.

 

 

Choon Hwa ketika ditemui turut menzahirkan perasaan kagum atas pencapaian tiga anaknya pada pertandingan di lapangan yang pertama dianjurkan oleh Buletin Mutiara.

 

 

“Sebelum ini pun memang mereka kerap memasuki mana-mana pertandingan yang diadakan dan sudah pasti ia adalah pengalaman kepada mereka.

 

 

“Hadiah dimenangai akan disimpan untuk kegunaan mereka pada masa hadapan khususnya untuk menyambung pelajaran,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

 

Sementara itu, bagi peraduan melukis poster kategori 13 tahun ke atas, Ooi Liwen muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

 

 

Menurut ayahnya, Ooi Yew Chia, kesemua wang tersebut diberikan kepada Liwen memandangkan dia masih belajar di sebuah universiti swasta.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING