Pengurus Besar Pejabat Warisan Dunia George Town (PWDGT) – Selasa dengan cabaran mendatang

Admin

MUKADIMAH

PADA 7 Julai 2008, Melaka dan George Town telah disenaraikan secara bersama sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) melalui mesyuarat ‘World Heritage Committee’ yang diadakan di Quebac City, Kanada. Kedua-dua bandar ini telah disenaraikan sebagai ‘Bandar Bersejarah di Selat Melaka’ di bawah kategori warisan budaya.

Selaras dengan pengiktirafan tersebut, Kerajaan Malaysia telah menyatakan komitmenya untuk menubuhkan Pejabat Warisan Dunia di Tapak Warisan Dunia Melaka dan George Town mengikut keperluan UNESCO Operational Guidelines 2008.

Pelan Pengurusan Warisan – Bandar Bersejarah George Town telah menjelaskan bahawa penubuhan Pejabat Warisan Dunia George Town (PWDGT) adalah bagi memantau pelaksanaan dan pengendalian pengurusan tapak merangkumi hal-hal berkaitan penjenamaan, promosi, pelancongan, pengangkutan awam, keselamatan, penyelidikan, kajian-kajian impak, penterjemahan tapak, kesedaran awam dan memberi khidmat nasihat berkaitan warisan.

PWDGT dengan rasminya dibuka Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada 30 April 2010.

BANGUNAN PWDGT di Jalan Stewart di sini.
SALAH sebuah bangunan warisan di Jalan Stewart di sini.

Sebagai peneraju pertama PWDGT, ikuti temubual bersama Pengurus Besar PWDGT, Maimunah Mohd. Sharif bersama SUARA CAT berhubung cabaran-cabaran yang bakal dihadapi beliau.

SUARA CAT : Berdasarkan latar belakang pendidikan dan pendedahan puan di dalam bidang kerjaya sebelum ini, adakah tanggungjawab sebagai peneraju PWDGT membawa cabaran baru.

MAIMUNAH : Sebagaimana maklum, saya merupakan graduan jurusan perancangan bandar dan sebelum dilantik sebagai Pengurus Besar di PWDGT, khidmat saya tertumpu di Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bermula pada tahun 1985 dan kemudian dilantik sebagai Pengarah Perancang Bangunan MPPP pada 2003. Lazimnya, PWDGT menyediakan cabarannya tersendiri. Tidak dinafikan, pendedahan di PWDGT adalah lebih meluas kerana ia mendedahkan saya lebih kepada dunia luar. Sebagai Pengurus Besar PWDGT, tugas saya bukan hanya tertumpu kepada perancangan dalam mengekalkan struktur bangunan warisan, sebaliknya, saya turut terlibat di dalam program promosi di dalam serta luar negara ; kempen kesedaran umum secara menyeluruh termasuk golongan pelajar sekolah, agensi-agensi swasta seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), pihak kontraktor, arkitek, jurutera, jabatan pelesenan dan para penyelidik.

Contohnya berhubung pemasangan wayar elektrik oleh TNB di bangunan warisan bagi mengekalkan keunikan serta kecantikan sedia ada. Walaupun perkara ini dilihat sebagai remeh temeh, namun, aspek ini perlu diberi penekanan khas kerana ia secara tidak langsung berkait rapat dengan pengekalan keaslian bangunan-bangunan warisan di sini. Sesungguhnya, PWDGT perlu bekerjasama dengan semua pihak dalam mengekalkan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia.

SUARA CAT : Sehingga kini, pendedahan dan kesedaran George Town sebagai Tapak Warisan Dunia masih berada pada tahap rendah. Apakah program-program yang dirancang kini dan bakal diimplementasikan bagi tujuan mempromosikan pengiktirafan ini di mata pelancong asing khsusunya.

MAIMUNAH : Sejak awal tahun ini, pelbagai kempen kesedaran telah dijalankan oleh PWDGT. Antara program peringkat dalaman yang diadakan adalah worksyop kepada para kontraktor, kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), arkitek, juru ukur bahan, jurutera ; seminar di sekolah serta kolej dan juga program-program tempatan dengan kerjasama pihak-pihak korporat, persatuan-persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pada peringkat luaran, ikatan kerjasama telah diadakan dengan agensi-agensi pelancongan termasuk pemandu pelancong di dalam dan juga luar negara. Apa yang diusahakan PWDGT kini adalah supaya pihak-pihak terbabit menjadikan sesi kunjungan ke tapak warisan sebagai salah satu pakej lawatan kepada pelancong-pelancong asing terutamanya kapal-kapal mewah yang berlabuh di Pelabuhan Swettenhem dari semasa ke semasa. Pada masa sama, wakil-wakil PWDGT turut dihantar ke luar negara untuk sesi taklimat bagi ‘menjual’ nama George Town sebagai Tapak Warisan Dunia.

MAINUMAH Mohd. Sharif.
MAINUMAH Mohd. Sharif.

SUARA CAT : Apakah projek terkini yang diusahakan oleh PWDGT.

MAIMUNAH : Selaras dengan kempen Pulau Pinang Bersih dan Hijau, PWDGT kini bekerjasama dengan Khazanah Nasinal Berhad, Socio-Economic and Environmental Research Institute (SERI), Think City (anak syarikat Khazanah Nasional Berhad) berhubung projek lanskap di tapak warisan. Selain lanskap, aspek penekanan dalam usaha pemuliharaan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia adalah inisiatif menjadikan tapak warisan sebagai pusat pembangunan, penguatkuasaan, utiliti dan kemudahan yang dibincangkan bersama badan-badan pertubuhan lain.

SUARA CAT : Bagaimanakah persediaan PWDGT dalam menyambut ulang tahun kedua George Town sebagai Tapak Warisan Dunia.

MAIMUNAH : Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengiktiraf 7 Julai sebagai cuti umum negeri. Festival George Town bakal diadakan dalam tempoh sebulan (1 Julai 2010 – 31 Julai 2010) dengan pelbagai program menarik termasuk tayangan filem, persembahan opera, perarakan, pameran fotografi, pesta makanan dan pelbagai lagi. Harapan saya agar kemeriahan ini turut dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia secara keseluruhan.

SUARA CAT : Apakah pencapaian yang telah dicapai PWDGT sehingga kini dan apakah perancangan masa depan.

MAIMUNAH : Adalah tidak adil bagi saya mengulas mengenai pencapaian PWDGT sebaliknya masyarakat umum yang sepatutnya memberi penilaian. Sebagai Pengurus Besar PWDGT, saya lihat banyak usaha yang masih perlu dilakukan. Saya percaya masyarakat umum peka bahawa George Town merupakan Tapak Warisan Dunia, namun, PWDGT perlu berusaha keras untuk mempromosikan warisan berharga ini. Berhubung pelan jangka panjang, Kerajaan Negeri lazimnya telah memberi kelulusan penubuhan pejabat PWDGT termasuk pertambahan kakitangan. Pada masa sama, adalah menjadi harapan saya supaya PWDGT muncul sebagai pusat informasi berhubung maklumat-maklumat berkaitan warisan negeri Pulau Pinang ; pelaksanaan kempen kesedaran melalui pendidikan menfokuskan generasi baru dan penerbitan jurnal hasil kajian dan pembangunan (R&D) secara menyeluruh.

MAIMUNAH Mohd. Sharif di hadapan pejabat PWDGT di sini.
MAIMUNAH Mohd. Sharif di hadapan pejabat PWDGT di sini.

Pejabat Warisan Dunia George Town (PWDGT)

116 & 118, Lebuh Acheh,

10200 Pulau Pinang.

Tel : 04 – 261 6606

Faks : 04 – -261 6605

Emel : [email protected]