Perangi denggi, cegah sebelum kena!

TRAK MPPP memungut sampah-sarap yang dikumpul penduduk yang terlibat dalam program Gotong-Royong Perdana di Kampung Rasa, Jelutong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & YAP LEE YING

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri mengambil langkah drastik menganjurkan majlis gotong-royong secara besar-besaran dan serentak di 40 lokaliti terpilih baru-baru ini, susulan dua kematian akibat denggi direkodkan di Pulau Pinang pada minggu pertama tahun ini iaitu jumlah serupa bagi tempoh sama tahun lepas (2014).

Ia adalah membabitkan 14 kawasan di Daerah Timur Laut, Daerah Barat Daya (6), Seberang Perai Tengah, SPT (10), lima masing-masing di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS) terlibat dalam operasi bersepadu memerangi denggi terbesar peringkat negeri selepas majlis serupa dianjurkan pada hujung tahun lepas.

Kesemua kakitangan Jabatan Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut dikerah bersama-sama komuniti setempat demi menjayakan program pencegahan wabak denggi ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri turun padang merasmikan Majlis Pelancaran Gotong-Royong Perdana di Daerah SPT.

Manakala, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon merasmikan majlis serupa peringkat Daerah Timur Laut di Taman Hamna dekat Sungai Dua.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih dalam ucapannya melahirkan rasa bimbang berhubung dua kematian akibat denggi yang dicatatkan di Pulau Pinang pada minggu pertama tahun ini.

“Selepas satu minggu memasuki tahun baru 2015, statistik demam denggi masih belum menunjukkan tanda-tanda penurunan,” ujarnya semasa merasmikan program tersebut di Blok A Taman Tenggiri di sini baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dan Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr. Zailan Haji Adnan turut berucap pada program di bawah projek Penang Sihat tersebut.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man dan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri akan terus memberi komitmen dalam membanteras penyakit itu.

Itu, beliau memberitahu, termasuk melaksanakan operasi pemeriksaan tapak-tapak binaan, meningkatkan pelupusan sampah-sampah haram terutamanya di lokasi-lokasi kes dan wabak denggi, meningkatkan aktiviti-aktiviti pendidikan kesihatan seperti ceramah, hebahan awam dan nasihat individu serta meningkatkan aktiviti penguatkuasaan ke atas mana-mana premis yang membiak nyamuk aedes.

Dalam pada itu, menurut kenyataan Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang bertarikh 28 Januari baru-baru ini melaporkan bahawa sehingga 24 Januari lalu, sebanyak 398 kes denggi dilaporkan berbanding 151 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu (2014) dengan peningkatan 247 kes (163.58%).

“Kini, terdapat 25 lokaliti wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang iaitu di Batu Green, Jalan Haji Hashim Imam, Jalan Lim Lean Teng, Lintang Besi, Solok Rawana, Pangsapuri Sri Saujana, Sri Wangsa, Taman Kristal, Taman Perak, Taman Sri Pinang dan Jalan Paya Terubong dari Daerah Timur Laut.

“Lokaliti Sungai Batu Laut dan Pangsapuri Lavina dari Daerah Barat Daya; Lokaliti CL Pearl View, Lengkok Inderawasih, Masjid Sembilang, Solok Tenggiri, Flat Lorong Tuna, Taman Permai Jaya,Taman Saujana Permai, Taman Budiman dan Perkampungan Machang Bubuk (Daerah SPT); Lokaliti Jalan Batas Ban (Daerah SPS) dan Taman Molek (Daerah SPU).

“Terdapat tiga lokaliti wabak tidak terkawal iaitu di Taman Teguh, Flat Hamna (Blok A-J) dan Kampung Rawa di Daerah Timur Laut. Terdapat tiga lokaliti hotspot iaitu di Jalan Lim Eow Thoon, Flat Batu Lanchang dan Taman Free School juga di Daerah Timur Laut,” jelas kenyataan berkenaan melalui Pejabat Afif di sini baru-baru ini.

Lanjutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang ingin mengingatkan masyarakat supaya terus mengambil langkah pencegahan sebagaimana disarankan bagi menghentikan penularan penyakit denggi.