Perhebat kempen alam sekitar, 100,000 beg guna semula diedar

Admin
7b778ee4 214c 4353 b7ce 1c40a78e6508

GEORGE TOWN – Selari dengan Kempen Tanpa Beg Plastik Setiap Hari yang berkuat kuasa sejak bulan September lepas, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan mengedarkan sebanyak 100,000 unit beg guna semula di sekitar negeri ini.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S.Sundarajoo berkata, sehingga kini sebanyak 35,000 beg sekali guna telah diedarkan kepada rakyat di negeri ini.

“Langkah ini bukan sahaja untuk mengurangkan penggunaan beg plastik tetapi juga menjadi simbol sokongan praktikal Kerajaan Negeri terhadap gaya hidup mesra alam dan amalan lestari,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 19 November 2025.

Di samping itu, beliau memaklumkan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang menubuhkan satu entiti kerajaan untuk merangka dasar hijau negeri, melaksanakan program berkaitan alam sekitar serta memperkukuh pendidikan awam mengenai kelestarian.

“Agensi yang dikenali sebagai Penang Green Council (PGC) ini ditubuhkan pada 2011 melalui mantan Exco Alam Sekitar dan telah menjadi model contoh kepada negeri-negeri lain.

“Malah, ia turut dipuji pada peringkat nasional melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES),” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ALISSALA THIAN & LAW SUUN TING