GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menandatangani Perjanjian Kolektif (PK) dengan Kesatuan Eksekutif, Kesatuan Kakitangan dan Kesatuan Pekerja-Pekerja PBAPP bagi tempoh 2024 – 2026.
Acara menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam majlis yang diadakan di sini sebentar tadi.
Kon Yeow berkata bahawa perjanjian tersebut dapat memperkukuh keharmonian serta persefahaman antara pihak pengurusan (PBAPP) dan Kesatuan pekerja.
Malah, beliau menyatakan bahawa langkah itu turut mencerminkan budaya hubungan perusahaan yang matang dan konstruktif.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Pengurusan PBAPP serta ketiga-tiga Kesatuan kerana berjaya mencapai persetujuan dalam perjanjian ini.
“Bagi Kesatuan Eksekutif PBAPP, yang merupakan kesatuan termuda, ini adalah Perjanjian Kolektif kali kedua selepas pelaksanaan pertama pada tahun 2021–2023.
“Bagi Kesatuan Kakitangan dan Kesatuan Pekerja-Pekerja PBAPP pula, ini merupakan Perjanjian Kolektif kali kesembilan dalam tempoh berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026,” ujarnya ketika berucap pada majlis tersebut.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan; Yang Dipertua Kesatuan Eksekutif PBAPP, Ts. Yeap Cheng Soon; Yang Dipertua Kesatuan Kakitangan PBAPP, Azhar Awang Kechik dan Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja PBAPP, Mohamad Adlin Ali.


Kon Yeow yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif PBAPP menjelaskan bahawa rundingan bagi pemeteraian perjanjian tersebut telah berjalan selama 19 bulan, bermula Mac 2024 dan berakhir pada bulan September 2025.
“Sepanjang tempoh tersebut, lapan rundingan telah diadakan bersama Kesatuan Eksekutif, 12 kali bersama Kesatuan Kakitangan dan 17 kali bersama Kesatuan Pekerja-Pekerja, bagi mencari penyelesaian terhadap setiap artikel yang dibincangkan.
“Artikel-artikel tersebut kemudiannya dibawa ke Lembaga Pengarah pada 26 Ogos 2025 untuk kelulusan.
“Hasilnya, sebanyak 68 artikel telah dimuktamadkan bersama Kesatuan Eksekutif, manakala 80 artikel berjaya dimeterai bersama Kesatuan Kakitangan dan Kesatuan Pekerja-Pekerja PBAPP,” jelasnya lanjut.
Beliau turut menyifatkan perjanjian tersebut sebagai langkah yang amat penting untuk membolehkan sebarang ketidakpuasan hati dalam kalangan kesatuan disuarakan melalui saluran yang sewajarnya.
“Kita tidak mahu sebarang ketidakpuasan hati disuarakan melalui saluran yang tidak sewajarnya seperti media sosial atau tindakan demonstrasi yang akhirnya boleh menjejaskan imej syarikat.
“Saya berharap agar setiap isu yang dibangkitkan oleh pihak kesatuan dapat diselesaikan secara dalaman, tanpa perlu melibatkan pihak ketiga.
“Pendekatan sebegini bukan sahaja menggambarkan hubungan matang dan positif antara kesatuan dan pengurusan, malah meletakkan PBAPP sebagai contoh teladan kepada organisasi lain,” ulasnya.
Sementara itu, Pathmanathan menjelaskan bahawa majlis menandatangani perjanjian tersebut telah mencerminkan komitmen bersama pihak pengurusan dan kesatuan untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang harmoni, adil dan profesional.
“Perjanjian Kolektif ini bukan sekadar satu dokumen rasmi, tetapi ia merupakan manifestasi semangat kerjasama, saling hormat-menghormati dan kepercayaan yang telah dibina bersama sepanjang rundingan.
“Ia menunjukkan bahawa setiap pihak sanggup duduk semeja, berbincang secara terbuka dan mencapai kata sepakat demi kepentingan bersama,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar Perjanjian Kolektif itu mampu menjadi asas untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan pekerja selain memperkukuh semangat kekitaan dalam kalangan warga kerja.
“Malah, perjanjian itu juga dapat mendorong produktiviti serta keberkesanan operasi syarikat secara keseluruhannya, memastikan kestabilan perhubungan perusahaan serta kepastian kos dan bajet.
“Hubungan baik dengan kesatuan sekerja juga diharap dapat diperkukuh melalui perjanjian ini di samping memastikan kepatuhan terhadap undang-undang serta meningkatkan imej dan reputasi syarikat,” katanya.
Pathmanathan memberitahu bahawa selain menitikberatkan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan dan pengguna air di Pulau Pinang, PBAPP juga mengutamakan kebajikan dan manfaat kepada kakitangan.
“Ini membuktikan bahawa PBAPP sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, yang bersedia memberikan ganjaran dan membuat penambahbaikan, sesuai dengan keadaan semasa.
“Kepada semua kakitangan dan pekerja PBAPP, saya berharap pakej emolumen dan segala faedah yang dipersetujui ini akan lebih memotivasikan anda untuk lebih produktif, profesional dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan prestasi kerja dengan PBAPP,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : SIEW CHIA EN