Perkhidmatan teksi air inisiatif pihak berkuasa tempatan, diperluas jika dapat sambutan – Kon Yeow

Admin
img 20240330 wa0048

PERMATANG BERANGAN – Perkhidmatan teksi air atau ‘water taxi’ akan diperluaskan ke kawasan Seberang Perai sekiranya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, dan keputusan mengenai perkara itu hanya boleh dibuat oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa usaha teksi air kini dijalankan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan bukannya Kerajaan Negeri, maka mereka cuma boleh memberikan liputan atau perkhidmatan ini di kawasan pulau sahaja.

“Perkhidmatan teksi air ini masih pada peringkat permulaan dan kita tidak tahu sama ada ia akan berjaya atau tidak, sebelum boleh diperluaskan pada masa akan datang.

“Jika dibuktikan mendapat sambutan daripada orang ramai, maka perkhidmatan ini boleh diperluaskan kelak.

“Namun skarang ini ia masih di peringkat percubaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir memeriahkan program Bubur Lambuk Bersama Ketua Menteri dekat Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang di sini pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mencadangkan supaya perkhidmatan teksi air diperluaskan ke kawasan Seberang Perai bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Terdahulu, Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempelawa mana-mana syarikat yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai permintaan untuk cadangan (RFP) secara terbuka bagi membolehkan perkhidmatan teksi air direalisasikan di negeri ini.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata bahawa syarikat-syarikat yang berminat untuk menyertai RFP ini dikehendaki mematuhi syarat dan keperluan sebagaimana dinyatakan dalam dokumen berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menyatakan bahawa jumlah pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) dalam kalangan penduduk di negeri menunjukkan peningkatan menjelang tarikh akhirnya pada esok (31 Mac 2024).

“Berdasarkan pengumuman daripada Kerajaan Pusat, jumlah penduduk Pulau Pinang yang mendaftar PADU semakin bertambah tetapi saya percaya masih ramai lagi yang belum mendaftar.

“Esok adalah hari terakhir (pendaftaran) dan masih ada penduduk yang tidak sempat untuk daftar, jadi kemungkinan pendaftaran PADU akan dilanjutkan sedikit masa lagi,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI