Perkukuh usaha bersepadu banteras ancaman dadah

Admin
whatsapp image 2026 04 06 at 15.11.32

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dadah secara menyeluruh menerusi pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.

Perkara itu dizahirkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Pulau Pinang Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan beliau selaku Pengerusi MTMD negeri di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh dan Pengarah AADK Negeri, Roswati Apin.

Turut serta, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Wan Nor Sakina Saad; barisan Pegawai Daerah; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran serta wakil agensi berkaitan.

whatsapp image 2026 04 06 at 15.11.33
KETUA Menteri ketika mempengerusikan MTMD Negeri Pulau Pinang Bilangan 1 Tahun 2026 di Komtar sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, MTMD berperanan sebagai platform utama dalam menyelaras dasar, strategi dan pelaksanaan program di peringkat negeri serta daerah.

Mesyuarat kali ini memberi penekanan terhadap keperluan memperkukuh kerjasama strategik susulan peningkatan rampasan dadah, khususnya jenis methamphetamine (syabu), serta taktik sindiket yang semakin kompleks melalui rangkaian digital dan operasi rentas sempadan.

“Sehubungan itu, semua pihak diseru mempertingkat sinergi melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan penglibatan komuniti,” ujarnya.

whatsapp image 2026 04 06 at 15.11.32 (1)
MTMD Negeri Pulau Pinang Bilangan 1 Tahun 2026 yang dihadiri oleh AADK serta jabatan dan agensi negeri.

Pada peringkat negeri, beliau memberitahu bahawa pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di kesemua 29 jabatan kerajaan mencerminkan komitmen tinggi dalam membudayakan persekitaran kerja bebas dadah.

Inisiatif ini juga diperluaskan kepada agensi berkaitan kerajaan serta sektor swasta bagi melahirkan tenaga kerja yang berintegriti, sihat dan produktif.

“Bagi menangani trend tersebut, pemerkasaan Program Skuad Antidadah Pulau Pinang terus diperkukuh sebagai platform kesukarelawanan belia, termasuk melalui penggunaan platform digital e-Skuad bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan dan kesedaran dalam komuniti,” jelasnya.

Tambah Kon Yeow, secara keseluruhan, MTMD kali ini mempertegas komitmen berterusan Kerajaan Negeri bersama agensi terlibat untuk melaksanakan tindakan lebih tersusun dan berkesan dalam membanteras ancaman dadah secara holistik.

“Kerjasama strategik ini menjadi tunjang utama dalam merealisasikan matlamat Dadah Terkawal 2030, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri menerusi Visi Penang2030,” ulasnya lanjut.

Difahamkan, mesyuarat pada petang ini, pihak AADK turut membentangkan dua kertas pertimbangan, iaitu fokus lima tahun Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) serta laporan impak gerak Skuad Antidadah ke arah memperkasa kesukarelawanan belia negeri.

Selain itu, dua kertas makluman laporan penyalahgunaan dadah oleh AADK serta senario tangkapan dan rampasan dadah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dikongsikan sebagai rujukan strategik kepada semua ahli mesyuarat yang hadir.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa berdasarkan statistik tahun 2025 yang dibentangkan dalam MTMD, seramai 13,655 individu dikesan sebagai penagih dan penyalah guna dadah atau bahan di Pulau Pinang yang mana daripada jumlah tersebut, sebanyak 95.2 peratus adalah lelaki manakala wanita 4.8 peratus.

“Dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 8,070 orang atau 59.1 peratus dengan majoriti terdiri daripada belia berusia antara 15 hingga 39 tahun, melibatkan 5,539 individu atau 76.4 peratus daripada keseluruhan pengguna ATS,’’ katanya.

whatsapp image 2026 04 06 at 15.11.36
(Dari kiri); ROSWATI Apin, Ketua Menteri, Ruslin Jusoh dan Rashinah Abdul Hamid usai kunjungan hormat di sini.

Terdahulu, Kon Yeow menerima kunjungan hormat delegasi AADK yang diketuai oleh Ruslin bersama Roswati dan Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Rashinah Abdul Hamid sebelum mempengerusikan Mesyuarat MTMD.

Dalam pertemuan tersebut, Ruslin memuji komitmen Pulau Pinang yang sentiasa cakna dan aktif dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah termasuk kerjasama utuh dengan pihak PDRM dan agensi berkaitan lain.

Usai pertemuan, Ruslin menyerahkan produk hasil tangan penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jelebu, Negeri Sembilan kepada Kon Yeow sebagai kenang-kenangan.

whatsapp image 2026 04 06 at 15.11.35
KETUA Menteri menerima plak penghargaan sebagai tada kenang-kenangan daripada Ruslin Jusoh usai pertemuan di Komtar, tadi.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : SIEW CHIA EN