Permohonan APC 2024 Parlimen Batu Kawan, KADUN Padang Kota dibuka

whatsapp image 2025 08 19 at 10.37.12

GEORGE TOWN – Para pelajar di kawasan Parlimen Batu Kawan dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota yang mencapai keputusan cemerlang dalam akademik bagi sesi persekolahan 2024 dipelawa untuk memohon Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) Parlimen Batu Kawan dan KADUN Padang Kota.

 

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee berkata, objektif penganjuran APC tersebut adalah bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar yang mencapai prestasi akademik cemerlang sekali gus menjadi pendorong untuk terus berusaha mencapai potensi terbaik.

 

Permohonan boleh dikemukakan oleh ibu bapa yang merupakan pengundi atau pemastautin di dalam kawasan Parlimen Batu Kawan dan juga KADUN Padang Kota.

 

“Bagi permohonan APC KADUN Padang Kota, ia juga terbuka kepada pelajar yang bersekolah di dalam KADUN Padang Kota bagi sesi persekolahan tahun 2024.

 

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian atau melalui borang fizikal yang boleh diperoleh di Pusat Khidmat KADUN Bukit Tambun; Pusat Khidmat KADUN Bukit Tengah; Pusat Khidmat KADUN Perai dan Pusat Khidmat Parlimen Batu Kawan bagi pemohon di kawasan Parlimen Batu Kawan.

 

“(Dan) mereka di bawah KADUN Padang Kota boleh hadir ke Pusat Khidmat KADUN Padang Kota di Jalan Arratoon dekat sini,” ujarnya pada sidang media di Komtar pagi ini.

whatsapp image 2025 08 19 at 10.39.18
LAU Keng Ee.

 

Hadir sama, Pengarah Pusat Khidmat Parlimen Batu Kawan dan KADUN Padang Kota, Ewe Chee Way; Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Batu Kawan, Wong Le Ye; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pykett Avenue / Northam Road, Johnny Chee Chong Chew dan Ahli Jawatankuasa Belia Pulau Pinang KADUN Padang Kota, Jason Ng Chun Wei.

 

Mengulas mengenai syarat permohonan, Keng Ee memaklumkan bahawa setiap permohonan mestilah disertakan dengan dokumen yang diperakukan sah.

 

“Salinan kad pengenalan ibu atau bapa, salinan sijil kelahiran anak, salinan keputusan peperiksaan akhir tahun bagi sesi 2024 dan dokumen sokongan lain sekiranya diperlukan seperti bil utiliti atau kontrak sewa rumah misalnya.

 

“Tarikh tutup permohonan adalah pada 5 September 2025, Jumaat iaitu pada atau sebelum pukul 5.00 petang,” jelasnya sambil berharap penganjuran APC ini dapat menjadi platform motivasi kepada pelajar di kedua-dua kawasan untuk terus melakar kejayaan dalam bidang akademik.

ffc9c246 06e9 42a3 91e0 ccf0e3bda041
RISALAH pemberitahuan permohonan Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Batu Kawan dan KADUN Padang Kota bagi sesi persekolahan 2024.

Difahamkan, terdapat lima kategori permohonan yang mana setiap pelajar yang layak akan menerima pingat, sijil kepujian dan wang tunai.

 

Berikut adalah kategori berdasarkan permohonan masing-masing:

 

  • Kategori 1 (Darjah 1–3): Keputusan peperiksaan adalah 6 TP5  dan ke atas – RM100

  • Kategori 2 (Darjah 4–6): Purata markah peperiksaan adalah 80 dan ke atas – RM100

  • Kategori 3 (Tingkatan 1–4): Purata markah peperiksaan 80 dan ke atas – RM150

  • Kategori 4 (Tingkatan 5 – SPM): Keputusan 8A dan ke atas – RM300

  • Kategori 5 (Tingkatan 6 – STPM): Keputusan PNGK 3.7 dan ke atas – RM500

 

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat KADUN Padang Kota di talian 04-226 0218 atau Pusat Khidmat Parlimen Batu Kawan, 04-588 7200.

c442e491 b305 4b9e a796 ed0df5d8fb22    d7034a8d 74b4 48fe bd9c 2126b61cc383 PERMOHANAN melalui kod QR.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN