GEORGE TOWN – Majlis Bandadaraya Pulau Pinang (MBPP) akan membuka Permohonan Permit Sementara Buah Bermusim untuk tempoh November hingga 31 Disember mulai esok hingga 15 November ini.
Menurut Ahli Majlis MBPP merangkap Pengerusi Gantian Tetap Kesihatan Awam, Tan Soo Siang, permohonan boleh dibuat melalui laman web ulesen.mbpp.gov.my.
“MBPP turut meletakkan beberapa syarat seperti mempunyai suntikan tifoid yang sah, saiz tapak mengikut kelulusan, permit kerusi meja, mengelakkan halangan awam dan pastikan tidak mengganggu aliran trafik.
“Majlis juga menetapkan syarat penyediaan tong sampah yang bersesuaian, pembersihan sisa kulit daripada tapak dan larangan penggunaan polistirena.
“Selain itu, MBPP juga menggalakkan transaksi tanpa tunai, membawa bekas dan beg sendiri serta sifar penggunaan plastik sekali guna,” ujarnya dalam sidang media dekat Pejabat Jabatan Pelesesnan MBPP di Lebuh Union pagi tadi.
Soo Siang dalam pada itu memaklumkan bahawa fi lesen RM1 sehari dikenakan bagi setiap gerai bersaiz 40 kaki persegi.
Manakala fi sampah sebanyak RM6 dan RM 100 bagi saiz gerai sama yang perlu dibayar untuk sekali permohonan sahaja.
Bagi permit sama pada Mei hingga September 2025, sebanyak 182 permohonan diluluskan dan 54 permohonan ditolak.
“MBPP juga mahu mengutamakan penjualan buah-buahan bermusim ini mengikut musim di Pulau Pinang, ada yang minta dibuka sepanjang tahun sebab ada stok dari negeri lain.
“Tetapi kita utamakan buah-buahan Pulau Pinang, kalau mahu jual buah-buahan daripada luar, boleh mohon gerai tetap,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : WONG SOOK SHYAN