Pertahan kepelbagaian warisan budaya sebagai kekuatan bersama – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri menyampaikan ucapan dalam majlis makan malam anjuran Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Benggali dekat Lebuh Leith di sini pada malam ini.

GEORGE TOWN – Dibina pada era kolonial sekitar tahun 1803, Masjid Jamek Benggali yang berusia kira-kira 150 tahun akan terus menjadi salah satu simbol keunikan dan keharmonian komuniti setempat di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Demikian kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada Majlis Jamuan Makanan Sempena Hari Raya Aidilfitri anjuran jawatankuasa kariah majlis berkenaan di Lebuh Leith di sini pada 25 Mei 2022.

KETUA Menteri (lima dari kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan dengan ahli jawatankuasa kariah Masjid Jamek Benggali di sini pada malam ini.

“Dalam 40 tahun ini, saya tidak pernah menjejaki kaki ke dalam bangunan ini, tetapi dalam 40 hari belakangan ini, saya telah masuk ke Masjid Jamek Benggali buat kali ketiga, untuk mendekati pemimpin setempat.

“Masjid Jamek Benggali yang berusia lebih 150 tahun, seperti rumah ibadat yang lain (sekitar bandar raya George Town) menjadi mercu pembangunan di bandar raya ini.

“Terima kasih kepada nenek moyang kita yang mungkin datang ke negeri ini tanpa apa-apa melainkan membawa barang-barang dagangan, kemudiannya membangunkan negeri ini mengikut warisan budaya yang pelbagai dan unik.

“Sehubungan itu, walaupun mungkin kita berasal daripada latar belakang budaya dan kaum yang berbeza, kemudiannya ia menjadi keunikan serta kekuatan bersama sesama kita di bandar raya George Town (Tapak Warisan Dunia UNESCO).

“Kita mesti kekal harmoni dalam amalan agama masing-masing,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sebagai wakil rakyat bagi kawasan ini, tambah Kon Yeow, pihaknya mengalu-alukan usaha bersama dalam menyemarakkan semangat harmoni serta mempertahankan warisan budaya yang unik di bandar raya ini.

Imam Besar Masjid Jamek Benggali, Ustaz Syed Mohamed Mohamed Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid berkenaan dan Haji Zainul Azizdin Din (Timbalan Pengerusi) merupakan antara pemimpin lokal yang menyertai majlis jamuan malam tersebut.

Selepas itu, Kon Yeow turut meluangkan masa menyertai Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Majlis Jamek Prangin berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Turut mengiringi beliau ialah ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Prangin, Aznan Abdul Mutaliff; Ustaz Mukhlis Yahya (Timbalan Pengerusi Masjid); Abdul Rahman Makthun (Setiausaha) dan Imam, Ahmad Jamil Maulana Datuk Abdullah Bukhari.

KETUA Menteri menyantuni para tetamu pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di perkarangan Masjid Jamek Prangin di sini pada malam ini.

Semasa berucap, Kon Yeow memberitahu bahawa Masjid Jamek Prangin atau nama asalnya Masjid Az-Zakireen yang dibina pada tahun 1890-an juga sama seperti Masjid Jamek Benggali dekat Lebuh Leith yang banyak menyaksikan wajah pembangunan bandar raya George Town sejak lebih 100 tahun lepas.

“(Berhampiran Masjid Az-Zakireen) ini pada suatu ketika dahulu pernah menyaksikan pelbagai aktiviti komersial di sepanjang Terusan Prangin yang menjadi laluan utama masuk tongkang-tongkang sehingga ke Jalan Transfer (yang merupakan sebahagian terusan juga).

“Jadi, seperti institusi-institusi agama lain, Masjid Prangin turut menyaksikan pelbagai perkembangan dan perubahan wajah pada Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town ini.

“Sebagai wakil rakyat untuk komuniti tempatan, kita akan tetap bersama-sama kalian dalam menjaga kebajikan di kawasan ini,” jelasnya sebelum menyampaikan cek replika bernilai RM10,000 kepada pentadbir Masjid Jamek Prangin.

KETUA Menteri menyampaikan cek replika RM10,000 kepada wakil pentadbir Masjid Jamek Prangin di sini pada malam ini.

Di samping itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Masjid Jamek Prangin yang senantiasa membuka ‘pintu’ kepada sekalian kakitangan kerajaan yang beragama Islam bagi menunaikan Solat Fardhu Jumaat, walaupun mempunyai luas lantai bangunan yang begitu terhad.

Sebagaimana hasrat pihak pentadbiran Masjid Prangin, Kon Yeow berkata bahawa pihaknya turut berharap cadangan projek pembesaran masjid dari setingkat pada dua tingkat pada masa hadapan bagi memenuhi keperluan umat Islam dapat dipertimbang oleh pihak berwajib kelak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS