BATU UBAN – Pertandingan Pidato Penang2030 berpotensi diperluas ke peringkat kebangsaan pada tahun hadapan susulan permintaan yang diterima bagi meneruskan penganjuran melibatkan peserta dari seluruh negara.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, cadangan tersebut dilihat praktikal memandangkan proses saringan awal boleh dilaksanakan menerusi penghantaran rakaman peserta untuk dinilai oleh panel hakim.
“Kalau ada permintaan, kita bercadang untuk menganjurkan sekali lagi di peringkat kebangsaan,” jelasnya ketika ditemui media seusai Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Pidato Penang2030 Peringkat Kebangsaan 2026 dekat Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pada 15 September 2026.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol; Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, Dato’ Wan Nor Sakina Saad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan bahawa penganjuran pertandingan berkenaan bukan sekadar menjadi platform mempromosikan Visi Penang2030, malah memberi peluang kepada murid mengetengahkan bakat serta membina keyakinan diri.
“Ini satu platform untuk murid-murid menunjukkan bakat mereka dan saya lihat memang platform ini bagus untuk mereka membina jati diri, keyakinan, bertutur, bercakap dan berdebat.
“Justeru, Kerajaan Negeri berharap lebih ramai golongan muda dapat mengenali dan memahami Visi Penang2030 yang menjadi dasar pembangunan Pulau Pinang sejak lebih lapan tahun lalu,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan
Pada majlis sama, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri turut memperkukuh rangka kerja strategik pembangunan belia Pulau Pinang 2026 hingga 2030 bagi memastikan penglibatan golongan muda dalam pembangunan negeri dapat diperkasakan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
“Pada masa sama, kita perlu bersedia menghadapi perubahan landskap pendidikan, khususnya perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pengukuhan pendidikan digital bersama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, termasuk melalui penerapan teknologi baharu seperti AI, realiti maya dan kandungan digital,” tambahnya.

Tambah Kon Yeow, perkembangan teknologi perlu diseimbangkan dengan kemampuan generasi muda untuk berfikir secara kritis dalam menilai lambakan maklumat yang semakin meningkat.
“Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya celik teknologi, sebaliknya kita mahu melahirkan generasi yang juga celik pemikiran.
“Anak-anak muda perlu mampu menilai maklumat, membezakan fakta dengan persepsi, membina hujah dan menyampaikan pandangan secara matang serta bertanggungjawab,” serunya.
Sehubungan itu, Kon Yeow melihat pertandingan pidato sebagai platform penting dalam membentuk kemahiran berkenaan kerana aktiviti tersebut bukan sekadar melatih peserta bercakap di hadapan khalayak, malah mendorong mereka membaca, memahami, berfikir, berhujah serta berkomunikasi dengan baik.
“Penang2030 bukan sekadar agenda pembangunan ekonomi serta fizikal, tetapi turut menekankan pembinaan generasi pelapis yang berilmu, inovatif dan bersedia memimpin.
“Seiring Pulau Pinang yang berkembang sebagai hab teknologi dan inovasi, kita mahu anak muda bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut menjadi pencipta idea serta pemimpin masa depan,” ujarnya.

Pertandingan yang disertai kira-kira 350 peserta dari seluruh negara itu menawarkan hadiah wang tunai dan sijil pencapaian kepada lima peserta terbaik bagi setiap kategori, dengan pemenang tempat pertama menerima RM2,000; tempat kedua (RM1,500), tempat ketiga (RM1,000), manakala tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM500.
Bagi kategori Sekolah Rendah, Muhammad Zamil Muhazzib Shahrul Azmil dari Pulau Pinang muncul juara, diikuti Hajar Tasliyah Fadhil Awadullah dan Sumayyah Adelia Mokhzani dari Wilayah Persekutuan masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Tempat keempat dan kelima masing-masing diraih Maryam Zahra Badrul Hisyam dari Selangor dan Puteri Nurzafitah Zulaikha Zakaria dari Wilayah Persekutuan.
Kategori Remaja Menengah (Bawah) pula menyaksikan Mohamad Iman Shahzwan Mohamad Shahnaz dari Pulau Pinang muncul juara, diikuti Muhammad Al Farhan Ibrahim dari Pulau Pinang di tempat kedua dan Dhia Zarra Sophea Mohamad Aeron dari Selangor di tempat ketiga. Nur Syifa Darwisyah Mohd. Fitri dari Pulau Pinang dan Nazhmy Irsyaad Hazim Nazlee dari Perak masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.
Sementara itu, Wan Muhammad Akmal Hafiz Wan Azhar dari Pulau Pinang menjuarai kategori Belia Menengah (Atas), diikuti Cahaya Iman Cik Mohd. Rafizi dari Pulau Pinang dan Muhammad Arif Muhammad Naim dari Kedah masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Tempat keempat dan kelima pula diraih Muhammad Ba’is Saifullah Mohamad Ariff dan Muhamad Amsyar Farish Yurahmi, kedua-duanya dari Pulau Pinang.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : LAW SUUN TING