Pertandingan Sepak Takraw Merdeka bina semangat juang generasi muda

Admin
takraw

DATOK KERAMAT – Sebanyak 10 pasukan mengambil bahagian dalam Pertandingan Sepak Takraw Merdeka Tertutup 2025 yang berlangsung di Gelanggang Sepak Takraw Jalan P. Ramlee pada 16 Ogos lalu.

 

Majlis perasmian pertandingan berkaitan telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo.

 

whatsapp image 2025 08 16 at 11.21.42 f1b3882c
JAGDEEP Singh Deo.

 

Menurut Jagdeep, penganjuran pertandingan sukan seperti itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti tetapi juga membina disiplin serta semangat juang generasi muda.

 

“Saya gembira melihat anak-anak muda kita berkumpul dalam pertandingan seperti ini.

 

“Semangat kesukanan perlu dipupuk sejak awal dan jangan ada diskriminasi antara lelaki mahupun perempuan, semua mesti diberi peluang.

 

“Pertandingan sepak takraw yang dianjurkan bersempena sambutan awal Hari Kebangsaan ke-68 ini melibatkan penyertaan pasukan muda dari sekitar George Town, dengan sokongan padu komuniti setempat,” ujarnya ketika berucap pada majlis tersebut.

 

whatsapp image 2025 08 16 at 11.21.42 6c4b7adf
DUA pasukan berentap dalam Pertandingan Sepak Takraw

whatsapp image 2025 08 16 at 11.21.42 8ef0f18f

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan semua peserta kerana menjayakan pertandingan tersebut.

 

“Saya berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan sepak takraw,” ujarnya.

 

Hadir sama, Penghulu Kadun Datok Keramat, Mohd Hizer Omar mewakili Pegawai Daerah dan Tanah Timur Laut; Penyelia Kanan Pejabat Penerangan Daerah Timur Laut, Salawati Mat Shariff mewakili Pegawai Penerangan Daerah Timur Laut; Rukun Tetangga Kebun Lama & Jalan P. Ramlee, Mohd Sabri Abdul Rahman; Pegawai Tabung Haji, Mohd Fahmil Fadhzil; serta barisan jawatankuasa program.

 

 

Dalam pada itu, Jagdeep turut menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan Jalan P. Ramlee dan sekitar Sungai Pinang melalui projek tebatan banjir bernilai RM650 juta.

 

Beliau memaklumkan bahawa kerja mendalam dan melebarkan sistem perparitan di kawasan Jalan P. Ramlee hingga Jalan Pengkalan telah dilaksanakan, di samping komponen utama projek Sungai Pinang yang sedang giat dijalankan kini.

 

“Fasa pertama projek ini telah menerima hampir 30 peratus daripada jumlah RM150 juta yang dimohon, jadi kita mahu projek ini diberi keutamaan dan disiapkan secepat mungkin demi kesejahteraan penduduk,” jelasnya.

 

Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI