Perubahan portfolio Exco Kerajaan Negeri demi fokus pemulihan ekonomi pasca COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini mengumumkan penyusunan dan penjenamaan semula portfolio barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pula Pinang berkuat kuasa 15 September 2020.

Beliau berkata, penyusunan dan penjenamaan semula tersebut dianggap sebagai keperluan selari dengan fokus Kerajaan Negeri terhadap pemulihan serta peningkatan ekonomi pasca COVID-19.

Tambahnya, keadaan normal baharu (pasca COVID-19) memerlukan pentadbiran Kerajaan Negeri memikirkan semula beberapa perkara yang perlu diberikan penekanan dan keutamaan.

Chow Kon Yeow semasa mengadakan sidang media berhubung penyusunan dan penamaan semula portfolio Exco Kerajaan Negeri dekat Komtar sebentar tadi.

“Tindakan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri memahami keperluan bagi meningkatkan kemampuan negeri untuk bertindak sesuai dengan keadaan normal baharu pasca COVID-19 khususnya dalam sektor ekonomi dan revolusi Industri 4.0.

“Oleh itu, perubahan ini melibatkan beberapa portfolio digabungkan dan dijenamakan semula, beberapa portfolio lain diganti untuk menonjolkan fokus barunya sementara beberapa portfolio lagi telah dipindahkan dalam proses penggabungan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri barisan Exco Kerajaan Negeri dekat Komtar sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa beliau akan memegang portfolio Pembangunan Tanah & Ekonomi yang dibentuk berdasarkan fakta bahawa perancangan dan pembangunan ekonomi di peringkat negeri adalah terikat dengan pengurusan tanah.

“Ia melibatkan penyatuan portfolio Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah dengan Perancangan Ekonomi yang sebelum ini di bawah Timbalan Ketua Menteri II (TKMII).

“Cabaran ekonomi yang dihadapi penduduk Pulau Pinang memerlukan perancangan ekonomi diberikan keutamaan di samping tumpuan terhadap kepentingan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terhadap ekonomi negeri.

“Kebergantungan yang tinggi oleh sejumlah besar rakyat ke atas sektor PKS menuntut YAB Ketua Menteri untuk menyelaraskan dasar-dasar yang dapat membantu mereka untuk terus berdaya maju,” ulasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa sokongan mendatar kepada semua Exco dan agensi untuk pembangunan ekonomi digital melalui penubuhan Digital Penang di bawah pimpinan beliau sendiri.

Selain itu katanya, beliau juga akan kekal bertanggungjawab ke atas portfolio Komunikasi manakala portfolio Pengangkutan akan dipindahkan kepada Zairil Khir Johari.

“Perubahan turut melibatkan pembentukan portfolio Ekonomi Kreatif di bawah Yeoh Soon Hin yang bertujuan merangsang dan meningkatkan kreativiti belia serta inovasi teknologi berkaitan dengan warisan, seni dan budaya Pulau Pinang yang unik.

“Portfolio Agroteknologi & Keselamatan Makanan juga dibentuk dan dipegang oleh Norlela Ariffin untuk merangsang pelaburan bagi penggunaan teknologi dalam pembangunan sektor pertanian yang penting kepada masa depan kawasan pinggir bandar serta luar bandar,” katanya.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow menerangkan bahawa walaupun secara kolektifnya setiap Exco bertanggungjawab terhadap portfolio masing-masing, namun mereka tetap perlu bekerja sebagai satu pasukan dalam menyampakan perkhidmatan kepada rakyat.

“Sebagai contoh apabila YB Chong Eng memperkenalkan dasar yang menyasarkan 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan, maka Exco lain juga perlu menyokong polisi ini dengan memastikan agensi-agensi yang ada di bawah portfolio mereka melaksanakannya.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai perkara yang dibangkitkan dan berharap kami dapat bekerja sebagai satu pasukan,” ulasnya menjawab pertanyaan pemberita mengenai keperluan bagi setiap Exco untuk memegang sesebuah portfolio bagi tempoh dua penggal sahaja sebagaimana jawatan Ketua Menteri pada masa ini.

Berikut adalah senarai penuh Exco bersama-sama portfolio baharu:
• Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow (Ketua Menteri): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi

• YB Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (TKMI): Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

• YB Prof. Dr. Ramasamy A/L Palanisamy (TKMII): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi.

• YB Chong Eng: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Agama Selain Islam.

• YB Jagdeep Singh Deo: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa.

• YB Phee Boon Poh: Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan.

• YB Zairil Khir Johari: Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur.

• YB Dato’ Abdul Halim Bin Hussain: Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan.

• YB Yeoh Soon Hin: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif.

• YB Soon Lip Chee: Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan.

• YB Dr. Norlela Binti Ariffin: Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi d& Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD