Peruntukan diluluskan, kerja lebar Sungai Pinang mula April 2019 – Menteri

GEORGE TOWN – Kerja-kerja pelebaran lembangan Sungai Pinang sepanjang 1.5 kilometer (km) akan dimulakan pada April tahun depan, memandangkan RM150 juta peruntukan projek fasa tiga Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang tertangguh sebelum ini telahpun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan hari ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar memberitahu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, selepas meninjau sendiri keadaan Sungai Pinang serta kawasan-kawasan khas (hotspot) banjir di sini.

“Walaupun YB Jagdeep senantiasa mengingatkan saya bahawa projek ini telah lewat, proses dipercepatkan supaya kita boleh memulakan kerja-kerja (pemajuan) di bawah ini.

“1.5km sungai-sungai ini kita akan lebarkan, proses itu kita akan mulakan pada April (2019),” katanya pada sidang media sambil menyatakan bahawa proses kelulusan peruntukan berwajib adalah berdasarkan peraturan kewangan baru yang digariskan oleh Kementerian Kewangan.

Selain Jagdeep, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Sumber Asli) bagi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) turut sertai lawatan kerja dan sidang media itu di Pusat Informasi Sungai Pinang pada 4 September 2018.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, pelaksanaan fasa tiga RTB Sungai Pinang akan memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 penduduk di sekitar kawasan pelindungan banjir seluas 300 hektar di sini.

“Pelaksanaan projek secara fizikal dijangka bakal bermula pada pertengahan tahun 2019, dan dijangka siap sepenuhnya pada 2023.

“Skop projek ini antara lain merangkumi pembinaan ban pelindungan banjir, pembinaan pintu kawalan air, jambatan, saliran dalaman, kolam takungan banjir, perangkap sampah dan struktur kawalan saliran,” jelasnya.

Bercakap pada sidang media sama, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat merakamkan penghargaan kepada Xavier yang memberi keutamaan terhadap projek tersebut.

“Ini lah kali pertama Menteri datang ke (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN) Datuk Keramat – Sungai Pinang.

“Dalam semangat ‘Malaysia Baru’ ini, saya harap seperti Dr. Xavier kata tadi bahawa projek ini yang begitu lama tergendala akan diberikan keutamaan serta dapat dimulakan secepat mungkin,” serunya.

Dalam perkembangan lain, Xavier turut mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat berhasrat menyerahkan pengurusan Empangan Mengkuang kepada Kerajaan Negeri, dijangka pada hujung tahun ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI