Pesta Pulau Pinang edisi ke-60, PBIM warnai kalendar Disember di Pulau Pinang

file 000000009a608211a4f4051f5014bf5f

GEORGE TOWN – Pesta Pulau Pinang edisi ke-60 yang berlangsung di lokasi baharu; Aspen-Klippa Penang Bridge International Marathon @Penang Bridge (PBIM); pertandingan tarian singa tiang tinggi bertaraf antarabangsa; sambutan Krismas dan perarakan chingay antara acara utama yang bakal mewarnai kalendar Pulau Pinang sepanjang Disember 2026.

 

 

 

Selain itu, pelbagai acara lain turut dijangka menambah kemeriahan kalendar pelancongan negeri, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung sepanjang musim cuti hujung tahun.

 

 

 

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, penganjuran pelbagai acara tersebut bukan sahaja menawarkan pengalaman rekreasi dan kebudayaan kepada penduduk tempatan, malah berupaya menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

 

 

 

“Sempena musim cuti hujung tahun ini, pelbagai acara yang merangkumi bidang sukan, seni dan budaya serta perayaan dijangka menjadi tarikan kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk berkunjung ke negeri ini,” ujarnya ketika dihubungi Buletin Mutiara hari ini.

 

 

 

Menurut beliau, penganjuran acara sepanjang tahun 2026 turut memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, peruncitan serta industri pelancongan negeri.

 

 

 

“Pulau Pinang mempunyai warisan budaya yang kaya, kepelbagaian masyarakat dan ekosistem kreatif yang dinamik. Kita berharap setiap kunjungan pelancong ke negeri ini akan memberikan pengalaman yang berbeza dan bermakna,” katanya.

 

 

 

Menariknya, berdasarkan senarai acara di laman web MyPenang, Pesta Pulau Pinang edisi ke-60 yang berlangsung dari 1 hingga 31 Disember ini akan diadakan di Padang Menora, Kubang Menerong, Tasek Gelugor, selepas lebih lima dekad dianjurkan di tapak asalnya di Sungai Nibong.

 

 

 

Perpindahan lokasi itu susulan tapak Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong perlu memberi laluan kepada pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara serta pembangunan berorientasikan transit (TOD).

 

 

 

Sementara itu, PBIM 2026 dijadualkan berlangsung pada 13 Disember dengan laluan merentasi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang), manakala 15th Penang International High Pole Lion Dance Invitational Competition bakal berlangsung dari 4 hingga 6 Disember di Auto City Concept Hall, Juru.

 

 

 

Sambutan Krismas Peringkat Negeri yang diadakan di Minor Basilica of St. Anne, Bukit Mertajam pula dijadualkan pada 12 Disember, diikuti Perarakan Chingay Pulau Pinang di Padang MBSP Bagan Luar pada 26 Disember.

 

150504 gallery

 

 

Sehubungan itu, Hon Wai mengalu-alukan orang ramai, khususnya pelancong dari dalam dan luar negara, untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan sempena cuti hujung tahun bagi menikmati kepelbagaian budaya, kemeriahan perayaan dan pelbagai tarikan pelancongan negeri.

 

 

 

Untuk senarai lengkap acara dan aktiviti menarik sepanjang Disember 2026, sila layari https://www.mypenang.gov.my/events.

 

 

 

 

 

 

Gambar: EXCO & MYPENANG