GEORGE TOWN – Penang FC berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Melaka FC 3-0 di Stadium Bandaraya semalam, sekali gus mara dengan agregat 5-0.
Gol Penang FC dijaringkan oleh kapten, Stefano Brundo pada minit ke-11 disusuli jaringan oleh Ahmad Haziq Kutty Abba (m-39) dan penyerang import, Tchetche Kipre (m-79).
Tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Jose Elmer Porteria dilayangkan kad merah pada minit ke-77, namun tetap berjaya menambah jaringan.
Ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, kemenangan tersebut dianggap sebagai titik kebangkitan pasukan.
“Kejayaan ini merupakan kemenangan sulung Penang FC di Stadium Bandaraya musim ini, sekali gus meredakan tekanan yang menghimpit pasukan selepas tewas besar 0-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super sebelum ini.
“Selepas perlawanan menentang JDT, kami mengadakan sesi post-mortem besar-besaran melibatkan semua pihak, khususnya para pemain, bagi membuktikan bahawa kita mampu keluar daripada kesukaran ini.
“Alhamdulillah, terbukti malam ini kita berjaya menewaskan Melaka FC hasil usaha keras seluruh pasukan.
“Justeru, diharapkan kemenangan ini dapat menjadi titik permulaan kebangkitan Penang FC pada musim ini,” katanya pada sidang media di sini.
Tambah beliau, tempoh rehat panjang selepas ini akan dimanfaatkan untuk memperbaiki persembahan dalam saingan Liga Super memandangkan Penang FC kini berada di tangga tercorot dengan hanya satu mata selepas lima perlawanan.
Difahamkan, Penang FC akan berdepan juara bertahan, JDT, selepas mengesahkan slot ke suku akhir semalam.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR