GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperkukuh usaha menangani keganasan rumah tangga menerusi pelancaran Laman Web First Support Point (FSP) Pulau Pinang yang membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan dengan lebih mudah, pantas dan mesra privasi.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, keganasan rumah tangga masih merupakan isu serius yang memerlukan komitmen semua pihak, dan tidak boleh ditangani oleh satu agensi sahaja.
“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 1,248 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Pulau Pinang bagi tempoh 2023 hingga Mac 2026, bersamaan purata satu kes dilaporkan setiap hari.
“Bagi saya, satu kes pun sudah terlalu banyak, oleh itu, usaha menangani keganasan rumah tangga memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pihak penguat kuasa, hospital, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laman Web First Support Point Pulau Pinang dekat Menara Livingston di sini tengah hari tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Women’s Development Corporation (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng serta wakil-wakil agensi kerajaan dan NGO berkaitan
Tambahnya, sejak Julai 2020, Kerajaan Negeri melalui PWDC telah melaksanakan Dasar Keluarga Selamat bagi memperkukuh sistem sokongan berasaskan komuniti.
Melalui dasar tersebut, sehingga tahun 2025, seramai 536 First Support Point telah dilatih di seluruh Pulau Pinang meliputi kawasan pulau dan Seberang Perai.
“First Support Point bukan menggantikan peranan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebaliknya menjadi jambatan kepada mangsa untuk mendapatkan bantuan awal serta menghubungkan mereka kepada agensi yang bersesuaian,” jelas beliau yang juga ADUN Sungai Pinang.
Mengulas lanjut, Siew Khim berkata pelancaran laman web tersebut merupakan penambahbaikan kepada platform sedia ada yang sebelum ini menggunakan aplikasi mudah alih.
“Peralihan daripada aplikasi mudah alih kepada laman web bukan sekadar perubahan teknologi, tetapi menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri mendengar maklum balas masyarakat dan sentiasa bersedia menambah baik penyampaian perkhidmatan.
“Kini pengguna tidak lagi perlu memuat turun aplikasi atau menggunakan ruang storan telefon, mereka hanya perlu mengimbas kod QR atau membuka pautan melalui telefon pintar atau komputer untuk mengakses maklumat dengan lebih mudah, pantas dan mesra privasi,” ulasnya lagi.
Difahamkan laman web hasil kerjasama Kerajaan Negeri, PWDC dan Penang Geographic Information System (PEGIS) itu membolehkan pengguna mencari First Support Point yang terdekat mengikut lokasi, selain mendapatkan maklumat pusat khidmat ADUN dan Ahli Parlimen, NGO, hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta balai polis.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak termasuk media, pemimpin komuniti, agensi kerajaan dan NGO supaya membantu memperluaskan capaian laman web berkenaan.
“Setiap perkongsian mungkin kelihatan kecil, tetapi bagi seseorang yang sedang mencari jalan keluar, pautan tersebut boleh menjadi langkah pertama menuju keselamatan dan pemulihan.
“Platform First Support Point bukan sekadar sebuah laman web, sebaliknya membawa mesej bahawa di Pulau Pinang, tiada siapa sepatutnya berdepan krisis seorang diri,” katanya.