PPAPP belanja lebih RM2 juta beli koleksi bacaan perpustakaan awam – Sharimah

Admin

BERTAM – Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), Sharimah Salleh memberitahu, saban  tahun kira – kira RM2 juta dibelanjakan untuk menyediakan pelbagai jenis koleksi bacaan di semua perpustakaan di negeri ini.

Beliau berkata demikian selepas sesi maklum balas awam di Perpustakaan Awam Daerah Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini, yang melibatkan 74 perwakilan dari 64 sekolah berwajib di sini.

“Lebih RM2 juta (RM2,042,730) juga (peruntukan) untuk semua perpustakaan di Pulau Pinang.

“Ada 25 isu dibangkitkan dalam sesi maklum balas awam baru-baru ini, antaranya isu bahan bacaan dalam bahasa Cina dan Tamil kurang di sini (Perpustakaan Awam Daerah SPT), tapi isu-isu berbangkit ini telahpun ada di perpustakaan ini.

“Lagipun di Perpustakaan Awam dekat Bertam ini, majoriti yang datang adalah Melayu, kalau dilihat pada laporan statistik pinjaman buku Tamil umpamanya, kurang.

“Ada juga dicadangkan tadi, ditambah koleksi bacaan buku-buku sains dan teknologi, agama dan sejarah klasik China,” responsnya kepada pemberita pada majlis berkaitan.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee yang juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan, Hapus Kira dan Sebut Harga PPAPP dan Mohd. Rizal Ismail yang mempengerusikan jawatankuasa itu.

Lip Chee memberitahu, maklum balas langsung daripada guru – guru sekolah sebenarnya begitu membantu PPAPP membeli koleksi bahan bacaan di semua perpustakaan awam, termasuk 12 perpustakaan desa, perpustakaan pekan (1), perpustakaan digital (1) dan perpustakaan cawangan (1).

“RM2 juta peruntukan tahunan ini memang tidak cukup, tapi perbelanjaan bahan-bahan bacaan yang kita buat mestilah terlebih dahulu dikaji, apa yang penting mengikut keutamaan.

“Sebab itu, kita (PPAPP) memang harap cikgu-cikgu sekolah memberi cadangan secara langsung dalam pertemuan seperti ini, supaya kita boleh terus membeli koleksi bahan bacaan yang pelbagai berdasarkan cadangan mereka,” jelasnya.

Dalam sidang media tadi, Sharimah turut membentangkan data koleksi bahan bacaan di semua perpustakaan sekitar SPT, jumlah pengunjung perpustakaan bagi tahun 2016 dan sehingga bukan Mei tahun ini, serta pola pinjaman buku kegemaran mengikut subjek.