Ganti gasket, bersih tingkap Komtar demi keselesaan pengunjung

Admin

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

KOMTAR – Bangunan mercu tanda negeri Pulau Pinang, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) akan menjadi lebih selesa kepada pengunjung apabila kerja-kerja penggantian gasket dan pembersihan tingkap setinggi 68 tingkat siap sepenuhnya pada Jun 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Setia Urus, Datuk Ir. Ang Choo Hong memberitahu,
kerja-kerja yang menelan belanja RM1.29 juta itu adalah untuk menggantikan gasket dan pembersihan tingkap keseluruhan bangunan yang tidak pernah dilakukan sejak ia siap dibina pada tahun 1985.

“Walaupun begitu, ada juga kerja-kerja penggantian gasket secara ad-hoc dijalankan, kerana terdapat masalah kebocoran yang berlaku ketika hujan lebat sekaligus menjejaskan keselamatan struktur bangunan.

“Justeru, kita mengambil keputusan untuk menggantikan gasket dan membersihkan tingkap secara keseluruhan dan tender telah dimenangi oleh Syarikat Lubuk Laris Sdn. Bhd.,” ujarnya pada sesi lawatan kerja-kerja pemuliharaan dan pembersihan bangunan Komtar di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, Joel Lam (Pengurus Projek daripada Syarikat Lubuk Laris
Sdn. Bhd.) dan Hasnul Hashim (Pengurus Operasi Syarikat Lubuk Laris Sdn. Bhd.) turut serta dalam lawatan kerja tersebut.

Menurut Hasnul, pengedap berkualiti tinggi digunakan bagi menggantikan gasket kini.

“Pengedap digunakan mempunyai ketahanan tinggi dengan jaminan sehingga 10 tahun dan rintangan yang tinggi terhadap sinaran ultraviolet (UV).

“Manakala untuk pembersihan tingkap, air osmosis songsang (RO) digunakan bagi menghalang pengumpulan sisa pada cermin,” jelasnya.

Projek tersebut telah dijalankan secara berperingkat sejak 16 Disember 2016.