PPAPP sedia perkhidmatan internet percuma, bantu lancarkan proses PdPR

Admin

SEBERANG JAYA – Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) membuka perkhidmatan internet tanpa wayar (Wi-Fi) percuma di semua pusat perkhidmatannya termasuk perpustakaan desa dan perpustakaan daerah di seluruh negeri.

Pustakawan, Azizah Zainon ketika ditemui berkata bahawa penduduk yang tinggal di kawasan sekitar bangunan perpustakaan boleh mengakses perkhidmatan tersebut pada setiap hari Isnin hingga Jumaat daripada pukul 8:00 pagi sehingga 5:30 petang.

“Kita sediakan perkhidmatan internet percuma ini sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari lalu (2021) memandangkan perpustakaan tidak dibuka untuk kunjungan orang awam.

Azizah zainon.

“(Lagipun), perkhidmatan internet percuma ini juga dibuka bagi membantu melancarkan proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh PKP terutamanya bagi ibu bapa serta pelajar yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai akses,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kebiasaan perpustakaan desa dibuka setiap hari Selasa hingga Sabtu tetapi disebabkan PKP, maka hari dibuka adalah mulai Isnin hingga Jumaat.

“Ini bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah menggunakan perkhidmatan ini selari dengan sesi PdPR mereka.

“Apabila memikirkan pelajar-pelajar sekolah terpaksa mengikuti kelas secara dalam talian pastinya memerlukan penggunaan data yang banyak. Begitu juga dengan mereka yang perlu bekerja dari rumah.

“Bayangkan jika satu rumah ada empat atau lima anak yang perlu mengikuti sesi PdPR dengan hanya menggunakan satu sambungan Wi-Fi atau pelan internet di telefon pintar sahaja. Jadi kita buka perkhidmatan ini untuk membantu melicinkan urusan mereka,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizah turut memaklumkan bahawa perkhidmatan kaunter pandu lalu untuk proses peminjaman dan penghantaran buku masih diteruskan dalam tempoh PKP ini.

“Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan ini melalui aplikasi ‘MyLibrary’ dengan memuat turun ke telefon pintar masing-masing.

“Kita juga tidak akan mengenakan sebarang denda kepada mereka yang tidak memulangkan buku pada tarikh yang ditetapkan sehingga tamat tempoh PKP,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Perpustakaan Negeri di talian 04-390 2387.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS