Program komuniti sasar semua lapisan

O l e h : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MARK JAMES

GEORGE TOWN – Dalam merealisasikan laungan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat, Kerajaan Negeri melalui portfolio MMK Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti melancarkan Program Komuniti bermula Mei hingga Oktober 2015.

Exconya, Chong Eng berkata, program tersebut direncanakan khusus untuk seluruh warga Pulau Pinang merangkumi 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) bermula 9 Mei lalu hingga 17 Oktober 2015.

“Di bawah Program Komuniti ini, terbahagi pula kepada dua kategori mengikut kumpulan sasar iaitu Program Sukan Komuniti dan Program Keluarga Berilmu dalam usaha melahirkan komuniti Pulau Pinang yang sihat dan harmoni,” katanya pada Majlis Taklimat Program Komuniti di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan ADUN Jawi, Soon Lip Chee.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Aloyah Bakar dan Pegawai-pegawai Penyelaras KADUN serta wakil ADUN turut sama dalam sesi taklimat tersebut.

Bertemakan ‘Komuniti Bersukan, Rakyat Sihat’, Program Sukan Komuniti lebih mendedahkan komuniti dengan aktiviti kesukanan sama ada sukan tradisi mahupun sukan ekstrem yang mencakupi semua lapisan masyarakat.

Bagi Program Keluarga Berilmu, beliau memberitahu bahawa pendedahan dalam bentuk penyebaran maklumat dan perkongsian ilmu
kekeluargaan adalah bagi membantu ibu bapa membina sebuah keluarga bahagia.

“Kedua-dua program ini semestinya mempunyai sasaran jangka masa panjang iaitu diharap dapat mengekang isu-isu sosial dan keretakan institusi keluarga yang bukan sahaja boleh merosakkan institusi kekeluarga, malah juga merugikan kemasyarakatan secara keseluruhannya,’’ jelas beliau.

} else {