Program pembasmian kemiskinan, Kerajaan Negeri fokus wujud peluang pekerjaan kepada golongan sasar – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Program pembasmian kemiskinan di negeri ini tidak tertumpu kepada sumbangan kewangan semata-mata, sebaliknya fokus turut diberikan dalam mewujudkan peluang pekerjaan.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai inisiatif yang menumpukan kepada peningkatan pendapatan melalui kemahiran insaniah untuk golongan sasar keluar daripada kekangan kemiskinan.

“Melalui Program Pembangunan Modal Insan, keluarga miskin digalakkan menyertai kursus-kursus pembangunan kemahiran tertentu, contohnya seperti masakan atau jahitan yang boleh digunakan sebagai asas dalam menjana pendapatan.

“Program seperti ‘2 Years Exit Programme (2YEP)’ membabitkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merupakan langkah produktif dalam menyediakan peserta program ke arah hidup yang lebih berdikari tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.

“Program-program kemahiran insaniah ini sekaligus mewujudkan peluang penjanaan sumber pendapatan yang stabil dan berterusan kepada peserta-peserta program,” ujarnya sebagai menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua yang juga Ketua Pembangkang DUN, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor berhubung pemberian bantuan kepada rakyat.

Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu dalam pada itu menyatakan keyakinan beliau bahawa Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2021 dengan tema ‘Transformasi Pemulihan dan Ketahanan Ekonomi Ke Arah Dimensi Baharu Terbilang’ akan memberikan nafas baharu dalam merancakkan kembali ekonomi negeri.

Menurut Boon Poh, bagi merancakkan ekonomi, Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun lalu sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan dan peniaga kecil di Pulau Pinang.

Jelas beliau, ia dilaksanakan melalui penyediakan peralatan mahupun bantuan kewangan melalui tiga program iaitu Program Peningkatan dan Pemulihan Ekonomi, Skim Pinjaman Harapan (SPH) dan Tabung Usahawan Tani (TUT).

“Program Peningkatan dan Pemulihan Ekonomi memfokuskan kepada peniaga kecil sepenuh masa termasuk golongan miskin yang menjalankan perniagaan, di mana bantuan peralatan akan disediakan bagi mereka mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

“Manakala, SPH dan TUT merupakan penyediaan saluran modal tambahan yang mudah dan tidak membebankan peminjam iaitu SPH menumpukan kepada bidang keusahawanan dan TUT kepada penternak, petani serta nelayan dalam industri asas tani,” jelas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD