Projek naik taraf tembok penahan ombak jangka siap akhir tahun

Admin

GEORGE TOWN – Projek pengukuhan tembok penahan ombak sepanjang 570 meter di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah dijangka siap pada penghujung tahun ini.

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan lakaran ilustrasi sesiaran di pesisir pantai utara Pulau Pinang berdekatan monumen Perang Dunia Ke-2.

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, projek tersebut merupakan salah satu daripada 14 komponen projek di bawah Pelan Induk Pesisir Pantai Utara Pulau Pinang – Semakan (Penang Northern Seafront Masterplan – Revised).


“Hasil pemeriksaan yang dijalankan pada tahun 2017 mendapati bahawa tembok penahan ombak di sini berada dalam keadaan usang dan tidak mampu lagi menahan ombak.


Keputusan dibuat untuk mengukuhkan tembok penahan ombak, dan dalam masa yang sama kaedah serta bahan yang digunakan mestilah mengikut kualiti dan piawaian Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Kos bagi projek pengukuhan tembok penahan ombak ini adalah RM2.2 juta dan dibiayai oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Manakala Kerajaan Negeri dan Think City Sdn. Bhd. (rakan usahasama) menyumbang RM1.5 juta bagi tujuan kajian terperinci serta rundingan projek di sini,” ujarnya melalui strim langsung di platform Facebook, sejurus mengadakan lawatan ke tapak projek berkaitan di sini pagi ini.

KERJA-kerja pengukuhan tembok penahan ombak giat dijalankan.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengarah Eksekutif Think City Sdn. Bhd., Hamdan Abdul Majeed; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi; Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. A. Rajendran serta pakar-pakar perunding bagi projek berkaitan.


Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa kawasan sesiaran di sepanjang Jalan Tun Syed Sheh Barakbah berdekatan Padang Kota Lama juga kini sedang giat disempurnakan.


“Saya difahamkan bahawa sehingga kini hampir 50 peratus (kemajuan projek) telah siap dan dijangkakan siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.


“Meskipun letusan pandemik yang melanda seluruh dunia kini, namun projek ini masih mengikut jadual.


“Saya harap apabila siap kelak, termasuk kerja-kerja landskap, kawasan yang sering dikunjungi ini akan menjadi kawasan tumpuan umum.


“(Dan) akan menjadi sebahagian daripada Penang Green Connectors Project seperti yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini iaitu untuk mewujudkan lebih banyak lingkaran kawasan hijau yang dilengkapi dengan kemudahan mesra alam dan mesra pengguna menjelang tahun 2030,” jelasnya.

KAWASAN sesiaran yang masih dalam pembinaan.

Sebagai rekod, sebanyak sembilan komponen projek di bawah Pelan Induk Pesisir Pantai Utara Pulau Pinang telah siap sepenuhnya antaranya pemulihan Fountain Garden yang bersejarah bersebelahan Dewan Bandaraya; baik pulih Dewan Bandaraya; baik pulih menara jam bersejarah dan projek naik taraf sesiaran di Lebuh Light (Fasa 1) yang menjadi sebahagian daripada Rancangan Kawasan Khas George Town (George Town Special Area Plan).


Kos keseluruhan projek adalah RM140 juta hasil inistiaf George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC) Sdn. Bhd. iaitu entiti kegunaan khas (special purpose vehicle) yang bertujuan membangunkan Rancangan Kawasan Khas George Town.


Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jagdeep memberitahu bahawa Pulau Pinang kini sedang membuat persediaan untuk menerima vaksinasi COVID-19 yang dijangka bermula pada penghujung bulan ini.


Malah, lebih daripada 200 klinik swasta dan doktor menyatakan kesediaan membantu melancarkan pemberian vaksinasi kepada umum.


Walau bagaimanapun, beliau membangkitkan persoalan berhubung kumpulan sasaran dan juga penerangan lanjut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


“Berdasarkan laporan media, saya mengambil maklum bahawa terdapat lima jenis vaksin dan salah satu daripadanya adalah keluaran Pfizer.


“Namun tiada penerangan lanjut daripada Kementerian berwajib berhubung kesan vaksin yang diambil.


“Saya berpandangan bahawa perlu ada penerangan lanjut supaya dapat meyakinkan rakyat berhubung program imunisasi yang bakal dilaksanakan hujung bulan ini.


“Keduanya adalah kumpulan sasaran, yang mana tidak dinyatakan dengan jelas kelompok pertama yang bakal terima dan saya berharap pihak berkaitan dapat memberi penjelasan lanjut berhubung perkara ini,” tegasnya.


Terdahulu, berdasarkan laporan media, Perdana Menteri mengumumkan bahawa pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa Pertama akan dimulakan pada 26 Februari ini yang membabitkan petugas barisan hadapan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN