Projek RTB Mak Mandin bantu tangani masalah banjir, dijangka siap 2020

Admin

BAGAN JERMAL – Kerajaan Negeri sedaya upaya akan menyegerakan penyempurnaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Mak Mandin dekat sini dalam usaha menangani masalah banjir pada masa hadapan.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata, projek RTB Mak Mandin yang menelan kos RM40 juta itu sedang dilaksanakan dan dijangka siap mengikut jadual menjelang tahun 2020.

“Buat masa ini saya meminta penduduk di sekitar kawasan Mak Mandin untuk bersabar kerana kita (Kerajaan Negeri) sedaya upaya menyegerakan projek terbabit dan apabila siap sepenuhnya kelak, barulah penduduk boleh melihat impak daripada projek RTB ini,” ujarnya sejurus selesai lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Mak Mandin semalam.

KEADAAN SK Mak Mandin yang dinaiki air semalam.

Turut sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Khong Chee Seong serta beberapa pegawai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Zairil memaklumkan selain pelaksanaan projek RTB Mak Mandin, langkah-langkah mitigasi jangka pendek turut dilakukan serentak.

“Tiga pam mudah alih ditempatkan di persimpangan stesen minyak Petronas, Jalan Permatang Pauh; di SK Mak Mandin dan satu lagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mak Mandin bagi mengepam keluar air ke parit monsun berdekatan sekaligus meredakan keadaan (banjir) apabila hujan lebat ataupun ketika air (laut) pasang.

“Maka, apabila siap kelak projek RTB Mak Mandin ini, akan ada satu rumah pam di Sungai Perai yang berkapasiti tinggi berbanding yang ada kini,” katanya.

Difahamkan, terdapat lima komponen dalam projek tersebut iaitu menaik taraf sungai dan parit monsun, membina sebuah rumah pam baharu di Sungai Perai, menaik taraf perparitan dan saliran dalaman di Taman Cantik dan di Taman Bagan.

Zairil mengadakan lawatan ke SK Mak Mandin berikutan kawasan sekitar dinaiki air berikutan intensiti hujan yang dicatatkan mencecah 111 milimeter (mm) pada 8 Mei lalu.

Dalam hal berasingan, Zairil memaklumkan bahawa sembilan notis penguatkuasaan telah dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU) kepada pemilik struktur yang menduduki atas parit dan sungai berkaitan secara tidak sah.

 

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: CHAN KOK KUAN