Projek Tapak Pelupusan Sampah Jelutong, Kerajaan Negeri masih teliti sebelum buat keputusan

Admin
img 20260609 wa0076

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih dalam proses meneliti pelbagai aspek sebelum membuat keputusan berhubung Projek Tapak Pelupusan Sampah Jelutong, termasuk cadangan pemberian tempoh lanjutan kepada pemaju projek, PLB Engineering Berhad (PLBE).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mendapatkan maklumat dan pandangan yang komprehensif sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurut beliau, walaupun terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak agar keputusan segera diambil serta melontarkan pelbagai tuduhan terhadap Kerajaan Negeri, proses pertimbangan perlu dilakukan secara teliti berdasarkan fakta dan maklumat yang tepat.

“Proses masih berjalan, dan saya selalu tegaskan bahawa sebarang keputusan perlu didahului dengan pertimbangan berdasarkan maklumat-maklumat yang betul.

“Ini merupakan proses yang sedang kita lakukan sekarang kerana setiap keputusan yang dibuat mempunyai implikasi, terutamanya dari segi kewangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Penang Career Discovery Day X Penang HR Forward Forum 2026 dekat sini sebentar tadi.

66e5c3d9 01ba 40ab 8a56 10fed392fe71
Tapak Projek Pelupusan Sampah Jelutong.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa keputusan sama ada mahu memberikan tempoh lanjutan kepada PLBE masih belum dimuktamadkan dan sedang melalui proses pertimbangan oleh Kerajaan Negeri.

“Apabila keputusan telah dibuat, Kerajaan Negeri akan mengumumkan perkara itu kepada umum,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pertemuan dengan pihak JAS telah berlangsung semalam (8 Jun), dan laporan yang diperoleh akan diteliti sebagai sebahagian daripada proses penilaian tersebut.

Laporan berkenaan juga dijadual dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada Rabu ini (10 Jun) oleh Exco Perumahan dan Alam Sekitar yang mengetuai pertemuan bersama pihak JAS.

Sementara itu, mengulas dakwaan bahawa lebihan kutipan hasil Kerajaan Negeri Pulau Pinang berpunca daripada kenaikan cukai tanah, Kon Yeow menegaskan bahawa perkara tersebut adalah tidak tepat.

Beliau menjelaskan bahawa angka yang dibentangkan adalah merujuk kepada prestasi kewangan sehingga 31 Disember 2025 yang merekodkan lebihan hasil (surplus) bagi tahun berkenaan.

“Kenaikan kutipan hasil adalah hasil daripada surplus yang besar bagi tahun 2025, dan tidak berkaitan dengan kenaikan kadar cukai tanah kerana pelaksanaan kadar baharu hanya bermula pada 1 Januari 2026,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap semua pihak dapat merujuk kepada fakta yang tepat sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung kedudukan kewangan Kerajaan Negeri.

Semalam, Kon Yeow menjelaskan bahawa Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan yang amat memberangsangkan pada tahun 2025, manakala kedudukan kewangan negeri terus menunjukkan pengukuhan pada tahun 2026.

“Pada tahun 2025, kita berjaya merekodkan lebihan yang sangat memberangsangkan.

“Bagi tahun 2026 pula, walaupun tahun kewangan masih belum berakhir, kita telah menyaksikan peningkatan lebih RM600 juta dalam Akaun Hasil Disatukan Negeri dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Ini merupakan petunjuk positif bagi Pulau Pinang kerana setakat ini kita telah merekodkan RM616 juta dalam Akaun Hasil Disatukan Negeri,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS