BATU LANCANG – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.718 juta bagi menyiapkan kolam takungan bawah tanah 2,200 meter persegi berkapasiti 5,000 meter padu sebagai projek tebatan banjir di Solok Van Praagh.
Ketua Meteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sistem takungan bawah tanah yang terbesar dan pertama di Pulau Pinang tersebut bertujuan menangani banjir yang mana biasanya berlaku tiga kali dalam tempoh satu tahun di sekitar kawasan berkaitan.
“Maka matlamat utama projek ini adalah membina sebuah kolam takungan bawah tanah yang dapat menyimpan air semasa hujan untuk dialirkan ke kolam takungan ini, dan disimpan sementara waktu.
“(Dan) ia akan dipam keluar seperti yang kita saksikan apabila aras Sungai Jelutong rendah sebagai satu kaedah menangani masalah banjir.
“Ini adalah pelan mitigasi banjir yang mempunyai reka bentuk kapasiti tertentu, yang mana lazimnya banjir-banjir kilat akan dapat ditangani dengan berkesannya, namun, ia tetap mempunyai had terutamanya melibatkan hujan sangat lebat serta luar biasa,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke Projek Tebatan Banjir di Solok Van Praagh di sini sebentar tadi.
Hadi sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee.
Tambah Kon Yeow, menerusi maklumat yang diterima daripada penduduk kepada wakil rakyat setempat, tiada lagi kejadian banjir kilat di kawasan tersebut sehingga kini, walaupun beberapa fenomena hujan lebat berlaku (baru-baru ini) selepas projek tersebut siap 7 Februari lepas.
“Kini, projek pembaikan rumah-rumah penduduk yang terkesan akibat projek ini yang dijalankan sejak 1 Jun 2022 sedang diberikan tumpuan.

“Ketika ini, kita pun bertanggungjawab terhadap para penduduk yang mungkin mengalami sedikit sebanyak kerosakan pada rumah mereka semasa projek ini dilaksanakan.
“Kerja-kerja pembaikan rumah-rumah ini sedang berjalan dan akan disempurnakan secepat mungkin,” jelasnya merangkap Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Dalam pada itu, Soon Lee memaklumkan bahawa projek tersebut direka bagi mengurangkan risiko banjir dengan tahap perlindungan sehingga 10 Average Recurrence Interval (ARI) iaitu hujan lebat yang secara purata berlaku sekali dalam tempoh 10 tahun.
“Berdasarkan analisis yang telah dijalankan, pelaksanaan projek ini dijangka dapat mengurangkan keluasan banjir daripada 4.22 hektar kepada hanya sekitar 0.16 hektar melibatkan pengurangan 96 peratus daripada keadaan asal.
“Penggunaan kolam takungan bawah tanah ini juga adalah pendekatan yang sesuai bagi kawasan bandar yang mempunyai kekangan ruang, tanpa menjejaskan penggunaan tanah di permukaan,’’ ulasnya lanjut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD