Pulau Pinang bakal wartakan 16 item Warisan Kebudayaan Tidak Ketara sebagai warisan negeri

img 20260129 wa0038

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal mewartakan 16 item Warisan Kebudayaan Tidak Ketara, merangkumi 10 makanan tradisional dan enam amalan warisan, sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 (Enakmen 14).

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pewartaan tersebut merupakan langkah penting dalam usaha berterusan Kerajaan Negeri memelihara, melindungi dan mempromosikan khazanah warisan negeri agar tidak terhakis oleh arus pembangunan pesat.

 

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media pemakluman pewartaan berkaitan di Komtar pada 29 Januari 2026.

 

whatsapp image 2026 01 29 at 1.46.13 pm
KETUA Menteri dan barisan tetamu menunjukkan antara makanan yang bakal disenaraikan sebagai Warisan Negeri pada sidang media di sini, tadi.

 

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Ar. Zalena Abdul Aziz; Ahli Majlis Warisan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Sosiobudaya), Profesor Madya Dr. K. Premalatha dan Pengarah Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri, Haryany Mohamad.

 

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa Pulau Pinang sememangnya terkenal sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sejarah, kepelbagaian budaya dan amalan sosiobudaya yang diwarisi sejak turun-temurun, sekali gus membentuk identiti unik masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

 

Malah, baru-baru ini Pulau Pinang turut diiktiraf sebagai antara destinasi pelancongan terbaik oleh New York Times dan CNN yang mana budaya makanan tempatan yang unik menjadi penyumbang pengiktirafan sedemikian.

 

“Maka, melalui Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 dan Peraturan-Peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif untuk memastikan warisan kebudayaan negeri terus dipelihara dan dihargai oleh generasi akan datang,” ujarnya.

 

Beliau memaklumkan bahawa pada 10 Disember 2025, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri telah meluluskan pencalonan 16 item berkenaan selepas melalui proses saringan dan penilaian teliti oleh Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Sosiobudaya) sebelum diperakukan oleh Majlis Warisan Negeri.

 

Antara 10 makanan tradisional yang diwartakan sebagai Warisan Negeri adalah Nasi Kandar, Pasembor, Char Kuey Kak, Oh Chien, Kerabu Bihun, Mi Hokkien, Mi Udang, Mi Sotong, Mi Jawa dan Roti Benggali.

 

ed9f7bf3 a7b9 46bf 8423 785dd5eb5b11
ANTARA makanan yang bakal diiktiraf sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang.

 

“Manakala, enam item Warisan Kebudayaan Tidak Ketara yang turut diangkat sebagai Warisan Negeri adalah Budaya Nasi Kandar, Budaya Kopitiam, Perarakan Thaipusam, Perarakan Chingay, Perayaan St. Anne Bukit Mertajam serta Loghat Bahasa Tanjong Pulau Pinang,” jelasnya.

 

Tambah Kon Yeow, semua item tersebut mempunyai nilai sejarah dan budaya yang tinggi serta masih diamalkan oleh masyarakat Pulau Pinang sehingga kini, dan menjadikannya aset penting dalam memperkukuh identiti negeri.

 

“Kesemua 16 item berkenaan akan diperkenalkan secara rasmi kepada orang ramai menerusi program Kenduri Warisan bersempena Perisytiharan Warisan Negeri yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat iaitu pada bulan Mei nanti,” ulasnya lanjut.

 

Bercakap mengenai usaha pendokumentasian dan pengiktirafan warisan tersebut, Kon Yeow memberitahu bahawa ia selari dengan aspirasi Visi Penang2030 serta gagasan Malaysia Madani yang menekankan pembangunan seimbang antara kemajuan fizikal dan pemeliharaan nilai budaya.

 

“Kerajaan Negeri berharap lebih banyak khazanah warisan kebudayaan Pulau Pinang dapat dikenal pasti, didokumentasikan dan diangkat sebagai Warisan Negeri pada masa hadapan supaya keunikan dan identiti negeri ini terus terpelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang,” jelasnya.

 

Sementara itu, Premalatha ketika menjawab pertanyaan media memaklumkan bahawa terdapat lapan ahli daripada pelbagai bidang dan kepakaran dalam Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Tidak Ketara.

 

“Jawatankuasa akan bermesyuarat dua bulan sekali untuk berbincang dalam pelbagai aspek mengenai penyenaraian item sebelum dimajukan kepada Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri.

 

“Malah, untuk penyenaraian ini, kami perlu mengenal pasti item-item sebelum membuat sebarang cadangan kepada Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Zalena menambah bahawa pihaknya turut menjadikan enakmen dan peraturan sedia ada sebagai panduan dalam memastikan penjagaan, pemeliharaan, penyediaan dan penyelenggaraan item yang disenaraikan tersebut.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN