Pulau Pinang fokus lahir usahawan muda inovatif melalui YEC 2025

Admin
yec feature

GEORGE TOWN – Pertandingan keusahawanan belia, Youth Entrepreneurship Challenge 2025 (YEC) dilancarkan hari ini bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda berdaya saing dan inovatif di Pulau Pinang.

 

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata pertandingan anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri itu akan memberi peluang kepada belia untuk menonjolkan kreativiti serta idea perniagaan baharu.

 

yb yec 2
DANIEL Gooi Zi Sen.

 

Sejak mula dianjurkan, YEC berjaya menarik penyertaan 784 belia sepanjang lima edisi lalu dan tahun 2025 menandakan edisi keenam penganjurannya.

 

“Pertandingan akan dilaksanakan bermula pada peringkat daerah dengan dua kategori iaitu sekolah menengah (15 hingga 18 tahun) dan kategori terbuka (18 hingga 35 tahun), sebelum johan dan naib johan setiap daerah mara ke peringkat negeri pada Februari 2026.

 

“Selain itu, pembentangan pada peringkat daerah akan diadakan secara dalam talian pada Oktober 2025 melalui platform Zoom dan dinilai berdasarkan rancangan perniagaan yang merangkumi konsep, produk, analisis situasi, strategi pemasaran, strategi operasi serta kewangan dan pembiayaan,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

 

poster yec bm[1] page 0001
POSTER rasmi Youth Entrepreneurship Challenge 2025.

Turut hadir, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol; Ahli Lembaga Pengarah PYDC merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng; Ahli Lembaga Pengarah PYDC merangkap ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Ahli Lembaga Pengarah PYDC merangkap Pegawai Penyelaras Kadun Telok Bahang, Ahmad Zaki Shah serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar.

 

Dalam sidang media sama, Zi Sen menyatakan bahawa penganjur turut menyediakan bengkel, forum dan sesi bimbingan berkaitan pemasaran, pengurusan kewangan serta paten perniagaan bagi membantu peserta memperkukuh persediaan sebelum ke peringkat negeri.

 

“Pendaftaran telah dibuka secara percuma sehingga 30 September 2025 dan setiap kumpulan boleh mendaftar seramai dua hingga lima orang melalui kod QR yang disediakan.

 

“Keusahawanan adalah teras penting dalam merealisasikan aspirasi Penang2030 dan saya yakin generasi belia kita berpotensi menjadi peneraju inovasi, pencipta peluang pekerjaan dan penggerak perubahan,” ujarnya sambil menyeru belia Pulau Pinang supaya menggunakan platform ini untuk mengasah kemahiran keusahawanan masing-masing.

 

Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD