Pulau Pinang gembleng tenaga perangi COVID-19

GEORGE TOWN – Syarikat trak terbesar yang menyediakan pengangkutan dan perkhidmatan kontena, pergudangan serta penyelenggaraan di negeri ini, Lee Ting San Group (LTS Group) menyerahkan sumbangan peralatan perubatan bernilai RM106,670.80 kepada Hospital Pulau Pinang sebagai usaha membantu memerangi perebakan wabak COVID-19.

 

Antara peralatan yang disumbangkan adalah kanula hidung aliran tinggi (HFNC); defibrilator BeneHeart D3 jenama Mindray; komputer riba; pencetak, katil kanvas; kipas angin industri berkuasa tinggi; mesin ECG; monitor pesakit; humidification chamber; drop stand dan emergency cart.

 

Penyerahan sumbangan dilakukan di hadapan Ketua Menteri, Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sambil diiringi oleh Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh yang juga Pengerusi PgCare Alliance di sini tadi.

 

Pengarah Eksekutif LTS Group, May Lee Hooi Pheng menyerahkan cek replika sebagai simbolik penyerahan sumbangan peralatan perubatan kepada Ketua Penolong Pengarah (Perubatan) Hospital Pulau Pinang, Dr. Nurul Atiqah Ab. Aziz.

 

Kon Yeow dalam pada itu, menzahirkan ucapan penghargaan kepada syarikat tersebut kerana sedia menghulurkan bantuan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 di negeri ini.

 

“Peningkatan (bilangan) kes COVID-19 dan (jumlah) kemasukan pesakit (ke fasiliti kesihatan) menyebabkan ‘tekanan’ kemudahan perubatan bertambah.

 

Bagi membantu anggota barisan hadapan terutamanya petugas kesihatan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan maka perlu memastikan peralatan yang mencukupi dan sesuai.

 

“(Dan) Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memainkan peranan untuk menggembleng tenaga menjayakan perang melawan COVID-19,” ujarnya pada majlis berkaitan.

 

Difahamkan, syarikat LTS Group sebelum ini telah menyumbangkan tiga unit monitor oksigen bernilai RM21,600 untuk kegunaan Hospital Pulau Pinang.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow menzahirkan kepercayaan bahawa sumbangan peralatan perubatan sama ada daripada pihak swasta mahupun individu secara tidak langsung membantu meningkatkan keupayaan persediaan dan kapasiti fasiliti kesihatan di negeri mendepani cabaran kawalan pandemik COVID-19.

 

(Misalnya) melalui PgCare Alliance yang merupakan suatu landasan yang bagus untuk semua rakyat di negeri ini…bersama-sama menghadapi pandemik serta saling membantu.

 

“Peluang untuk membantu hospital atau fasiliti kesihatan (sama ada daripada pihak swasta mahupun individu) juga amat dihargai,” katanya yang merupakan Penasihat PgCara Alliance, iaitu suatu gabungan yang terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO), pemain industri utama serta profesional di negeri ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD