Pulau Pinang komited lahir generasi ‘Teknokrat Mutadayyin’ – TKM I

img 7901 SUNGGUHPUN dihambat jadual kerja yang begitu padat, Mohamad Abdul Hamid meluangkan masa bagi merasmikan Festival Pendidikan Pulau Pinang 2026 dan Majlis Anugerah Cemerlang Kali Pertama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, di sini hari ini.

 

BERAPIT – Kerajaan Negeri komited memperkukuh ekosistem pendidikan di Pulau Pinang dengan menyeimbangkan penguasaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bersama pembentukan sahsiah serta jati diri yang kukuh dalam kalangan generasi muda.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, aspirasi untuk melahirkan golongan ‘teknokrat mutadayyin’ amat bertepatan dengan keperluan semasa bagi memastikan golongan profesional masa hadapan mempunyai pegangan agama yang mantap.

“Kita mahu melihat lebih ramai anak-anak sekolah agama menyerlah sebagai saintis, jurutera, pakar teknologi dan pemimpin masa hadapan tanpa mengabaikan nilai agama dan akhlak,” katanya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Koperasi.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Festival Pendidikan Pulau Pinang 2026 dan Majlis Anugerah Cemerlang Kali Pertama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, di sini hari ini.

Menyentuh perihal pemerkasaan pendidikan digital, beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memaklumkan bahawa Pulau Pinang telah mencipta sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang mencapai liputan 100 peratus kemudahan papan pintar (Smartboard) di semua sekolah menengah kerajaan pada tahun 2025, termasuk sumbangan 85 unit bernilai RM748,000 melalui wakalah zakat.

Selain itu, menurutnya, MAINPP turut mengagihkan 8,740 unit tablet bernilai RM6.5 juta kepada murid di 263 buah sekolah rendah bagi merapatkan jurang digital.

Pada majlis yang sama, menurutnya lagi, Telekom Malaysia Berhad (TM) turut menyerahkan sumbangan peranti tablet bernilai RM44,970 melalui wakalah zakat yang memberi manfaat kepada 30 pelajar di Daerah Seberang Perai Tengah.

Dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pencapaian akademik pula, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM120,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) bagi melaksanakan 10 program di bawah Inisiatif Pemerkasaan Akademik dan Pedagogi Pulau Pinang 2026 yang memberi fokus kepada pengukuhan literasi, numerasi serta persediaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut menyalurkan Geran Penyelidikan Jangka Pendek berjumlah RM15,000 kepada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi penghasilan kajian berasaskan bukti untuk membantu perancangan serta penambahbaikan dasar negeri.

Sementara itu, beliau memaklumkan akses pendidikan tinggi dan kebajikan warga pendidik Islam terus diberi keutamaan melalui penyaluran bantuan pendidikan tinggi Zakat MAINPP berjumlah RM27.16 juta kepada 10,725 penerima sehingga 31 Oktober lalu.

Bagi menghargai jasa guru agama, elaun bulanan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) telah dinaikkan kepada RM1,700 manakala Ketua Guru KAFA menerima RM1,800 bermula Oktober lalu melibatkan kira-kira 1,650 guru, di samping tambahan elaun bulanan RM500 kepada guru sekolah agama dan bantuan khas sekali bayar RM300 pada Disember ini.

“Usaha memperluas akses pendidikan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan visi Penang2030 dalam memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya, termasuk mereka yang memerlukan sokongan tambahan untuk mengembangkan potensi diri,” ujarnya lagi.

Pengarah Pendidikan Negeri, Mohamad Dziauddin Mat Saad dan Pengetua Pengetua SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin, Rosnah Othman turut berucap dalam majlis tersebut.

Difahamkan, Festival Pendidikan Pulau Pinang 2026 anjuran MMK Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Pulau Pinang yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu menyasarkan penyertaan seramai 4,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian inovasi, pameran kerjaya dan aktiviti kemasyarakatan.

Pada majlis berkenaan, seramai 68 pelajar cemerlang SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin turut diraikan menerusi tiga kategori anugerah iaitu Anugerah Menengah Rendah, Anugerah Menengah Atas dan Anugerah Tokoh Murid, selain penyerahan sebuah Smartboard dan empat meja pingpong kepada pihak sekolah bagi menyokong aktiviti pembelajaran serta kokurikulum.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB