PANTAI JEREJAK – Data awal 2026, menunjukkan Pulau Pinang kekal sebagai jaguh eksport negara dengan sumbangan lebih 44 peratus.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perangkaan tersebut membuktikan ketangkasan ekonomi Pulau Pinang di peringkat global.
“Berdasarkan data awal 2026, Pulau Pinang kekal sebagai juara eksport Malaysia dengan sumbangan melebihi 44 peratus daripada jumlah eksport negara, membuktikan ketangkasan ekonomi kita di peringkat global.

“Kejayaan ini menjadi tunjang kepada Visi Penang2030, dengan Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan pembangunan sebanyak 44.8 peratus kepada RM318.62 juta dalam Belanjawan 2026 sebagai bukti komitmen memacu kemajuan.
“Projek berimpak tinggi seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan pembangunan Pulau Silikon pula terus rancak, menarik pelaburan berteknologi tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi khasnya untuk anak-anak muda,” ujarnya pada Majlis Makan Malam Silaturahim Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1147 (H) 2026 (M) Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) di sini sebentar tadi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama (TYT), Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, YM Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Hadir sama, isteri kepada Ketua Menteri, YABhg. Puan Tan Lean Kee; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Rajendran; Presiden PEMENANG, Tan Sri (Dr.) Mohd. Yussof Latiff dan dif-dif kehormat yang lain.
Mengulas Lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa di sebalik kemajuan fizikal berkenaan, Kerajaan Negeri turut menekankan aspek pembangunan pendidikan dan modal insan.
“Kita sedar bahawa ‘enjin’ utama pembangunan negeri adalah bakat rakyatnya, justeru, bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan bantuan pendidikan berjumlah lebih RM15 juta yang memanfaatkan sekolah-sekolah di seluruh negeri, termasuk sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah jenis kebangsaan.
“Selain itu, melalui inisiatif Penang STEM dan pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kita (Kerajaan Negeri) sedang melatih lebih 5,000 bakat baharu setahun untuk memenuhi keperluan industri semikonduktor serta ekonomi digital.
“Kita mahu anak-anak Pulau Pinang, termasuk daripada komuniti PEMENANG, bukan sekadar menjadi pekerja, tetapi juga sebagai pakar dan pencipta teknologi di bumi sendiri.
“Pembangunan modal insan ini adalah pelaburan jangka panjang kita untuk memastikan jurang ekonomi dapat dirapatkan dan mobiliti sosial berlaku secara adil,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN