HONG KONG – Pulau Pinang bersedia melangkah ke fasa baharu pertumbuhan ekonomi dengan memperkukuh kedudukannya sebagai hab perindustrian berteknologi tinggi, inovasi dan kerjasama global, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan kepada syarikat dari Hong Kong dan tanah besar China.
Berbekalkan ekosistem perindustrian yang matang, tenaga kerja mahir serta infrastruktur yang terus diperkasa, Pulau Pinang kini memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan bernilai tinggi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, kelebihan strategik yang dimiliki Pulau Pinang sebagai Silicon Valley of the East menjadi asas kukuh untuk memperluas kerjasama ekonomi dengan pelabur antarabangsa.
Menurutnya, Pulau Pinang yang mempunyai populasi kira-kira 1.8 juta penduduk dan lebih 931,000 tenaga kerja kini menjadi pangkalan operasi kepada lebih 350 syarikat multinasional, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta teknologi perubatan.
“Ekosistem perindustrian Pulau Pinang telah dibangunkan selama lebih lima dekad dan kini merangkumi pelbagai peringkat rantaian nilai, daripada reka bentuk litar bersepadu, kejuruteraan perisian dan fabrikasi wafer hinggalah kepada pembungkusan semikonduktor termaju serta pembuatan peralatan berketepatan tinggi.
“Ini memberikan kelebihan kepada Pulau Pinang untuk terus berkembang sebagai destinasi pelaburan teknologi tinggi yang menawarkan nilai tambah kepada pelabur,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Penang: The Next Chapter – Growth, Innovation and Global Partnerships” pada majlis makan tengah hari jaringan bersama pelabur China dan Hong Kong di sini hari ini.


Antara syarikat global yang menjadi sebahagian daripada ekosistem E&E negeri ini termasuk Intel, Micron, Broadcom dan TF AMD.
Dalam sektor teknologi perubatan, kehadiran syarikat antarabangsa seperti B. Braun, Boston Scientific, Abbott dan Dexcom pula mengukuhkan aspirasi Pulau Pinang untuk muncul sebagai hab teknologi perubatan serantau.
Mengulas prestasi ekonomi negeri, Choon Aik berkata bahawa Pulau Pinang merekodkan RM22.4 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan pada 2025, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan industri negeri itu.
Katanya, Pulau Pinang turut merekodkan nilai eksport sebanyak RM574 bilion pada 2025 iaitu bersamaan kira-kira 36 peratus daripada jumlah eksport Malaysia dan 68 peratus daripada eksport E&E negara.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 pula, beliau berkata nilai eksport Pulau Pinang dilaporkan mencecah RM605.86 bilion.
“Dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi antarabangsa, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada potensi pelaburan dari Hong Kong dan China sebagai rakan strategik bagi menyokong pengembangan industri serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Choon Aik berkata, pelaburan yang diluluskan dari Hong Kong pada 2026 bernilai RM3.2 bilion, melibatkan 13 projek yang berpotensi mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan.
Sementara itu, pelaburan asing yang diluluskan dari China pula melebihi RM2.02 bilion.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sedang menyediakan kapasiti tanah perindustrian serta kemudahan sokongan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan pelabur, termasuk syarikat yang merancang memperluas operasi di Pulau Pinang.
Bagi menyokong pertumbuhan industri pada masa hadapan, beberapa kawasan pembangunan perindustrian strategik turut diketengahkan kepada pelabur, termasuk Penang Science Park South, Batu Kawan Industrial Park 3 dan Bandar Cassia Technology Park.
“Selain kawasan perindustrian yang dibangunkan kerajaan, pelabur juga mempunyai pilihan menerusi pembangunan swasta berstatus pegangan bebas seperti Penang Technology Park @ Bertam dan Northern TechValley @ BKE.
“Kawasan berkenaan menawarkan kemudahan perindustrian serta akses kepada rangkaian lebuh raya dan Pelabuhan Pulau Pinang, sekali gus menyokong kelancaran operasi pembuatan dan pengedaran barangan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun.
Dalam sektor perkhidmatan perniagaan pula, Choon Aik berkata pembangunan GBS Technoplex di Bayan Lepas dirancang menyediakan ruang pejabat Gred A seluas 400,000 kaki persegi menjelang 2029.
Katanya, kemudahan itu dijangka memenuhi keperluan syarikat antarabangsa yang ingin menubuhkan hab serantau dan pusat perkhidmatan bersama di Pulau Pinang.
Pada masa sama, projek Penang International Logistics Aeropark (PILA) bernilai RM1 bilion dijangka memulakan operasi Fasa 1 menjelang 2029, dengan sasaran meningkatkan kapasiti pengendalian kargo udara sehingga 500,000 tan setahun menjelang 2050.
“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh keupayaan logistik dan meningkatkan daya saing Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan antarabangsa,” katanya.

Turut menjadi tumpuan dalam pembentangan tersebut ialah projek Pulau Silikon iaitu pembangunan strategik yang dirancang untuk menjadi pemangkin kepada fasa seterusnya pertumbuhan industri Pulau Pinang.
Meliputi kawasan pembangunan induk seluas 2,300 ekar, Pulau Silikon dirancang sebagai hab perindustrian pintar yang menitikberatkan daya tahan terhadap perubahan iklim serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurut Choon Aik, kerja penambakan tanah Fasa 1 telah mencapai keluasan 500 ekar, manakala sebanyak 554 ekar tanah dirancang khusus untuk aktiviti pembuatan termaju.
“Pembangunan ini dijangka membuka ruang kepada kemasukan pelaburan bernilai tinggi, memperluas aktiviti industri berteknologi maju dan menyokong aspirasi di bawah visi Penang2030,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Pulau Pinang bukan sekadar mahu dikenali sebagai destinasi pelaburan, sebaliknya berhasrat menjadi rakan strategik jangka panjang kepada syarikat dari Hong Kong dan China dalam meneroka peluang pertumbuhan di rantau Asia.
“Melalui gabungan ekosistem industri yang kukuh, pembangunan infrastruktur strategik dan keterbukaan terhadap kerjasama global, Pulau Pinang berhasrat membina lembaran pertumbuhan ekonomi baharu yang bukan sahaja menarik pelaburan, malah mewujudkan nilai tambah, peluang pekerjaan dan kemakmuran untuk generasi akan datang,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: PEJABAT EXCO