Pulau Pinang perlu pelan rangka tindakan modal insan ikut permintaan industri – TKM II

JAGDEEP Singh Deo

GEORGE TOWN – Dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, Pulau Pinang memerlukan kira-kira 7,000 hingga 10,000 orang modal insan dalam bidang teknikal bagi memenuhi permintaan pasaran industri negeri.

JAGDEEP Singh Deo (tengah) mempengerusikan mesyuarat sulung bersama-sama barisan pemegang taruh berwajib di pejabatnya dekat Komtar pada 24 Ogos 2023.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi berkata pihaknya akan menyediakan pelan rangka tindakan berwajib bagi memandu agensi negeri berkaitan mencapai sasaran tersebut.

“Kita akan pastikan industri kita mempunyai modal insan dan pekerja yang mencukupi untuk industri yang memerlukan tenaga mereka.

“Pada hari ini, boleh saya katakan bahawa kita akan menghasilkan ‘blueprint’ (pelan rangka tindakan) supaya kita tahu bagaimana kita mara ke hadapan (bagi mencapai tujuan yang digariskan),” jelasnya seusai mesyuarat pertama dengan para pemegang taruh di pejabatnya dekat Komtar pada 24 Ogos 2023.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datin S. Bharathi dijemput bersama-sama dalam menyediakan pelan rangka tindakan modal insan di negeri Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep berkata pihaknya turut akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa kementerian berkaitan bagi membantu proses melatih modal insan bidang teknikal mengikut permintaan industri negeri.

Tidak cukup dengan itu, Jagdeep berkata pihaknya turut akan berusaha mendapatkan peruntukan Persekutuan serta tajaan daripada para pemegang taruh dalam sektor industri untuk membiayai kos melatih lebih ramai modal insan melalui agensi-agensi negeri berkaitan termasuk Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dekat Bayan Lepas.

Selain Barathi, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang, Dato’ Loo Lee Lian dan beberapa individu lain turut menyertai mesyuarat sulung bersama-sama Jagdeep di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN & AMMAR MIKHAIL AAMER