Pulau Pinang pertama wujudkan First Support Point dalam pentadbiran Kerajaan Negeri

dsc 9415

GEORGE TOWN – Seramai 84 pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SUK), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menerima watikah sebagai First Support Point (FSP).

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata ini menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang mewujudkan FSP dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

“FSP merupakan usaha tiga pihak antara Kerajaan Negeri, komuniti akar umbi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi bantuan kepada mangsa keganasan rumah tangga serta anggota keluarga mereka.

“Selain itu, FSP juga berperanan untuk menyalurkan kes-kes keganasan rumah tangga kepada pihak berkuasa yang bersesuaian secara sistematik.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan FSP yang telah dilatih di negeri Pulau Pinang adalah seramai 387 orang,” katanya kepada Buletin Mutiara ketia ditemui selepas majlis penyerahan watikah FSP kepada pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang dekat Komtar sebentar tadi.

dsc 9361

dsc 9331

dsc 9382

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN), Hasma Hashim; Pengarah JHEAIPP, Zulkifli Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Pegawai Daerah PDT Timur Laut, Rosli Halim; Pegawai Daerah PDT Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri serta Ketua Penolong Pegawai Daerah PDT Seberang Perai Selatan, Sharliza Wahab.

Dalam ucapannya sebelum itu, Siew Khim berkata bahawa berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 288 kes keganasan rumah tangga telah direkodkan di negeri Pulau Pinang sehingga September 2023.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 78 peratus mangsa adalah terdiri daripada golongan wanita manakala 22 peratus adalah lelaki.

“Sebagai sebuah negeri yang mengambil berat mengenai Kebajikan dan keselamatan rakyat, Kerajaan Negeri pada Oktober 2020 telah memperkenalkan Dasar Keluarga Selamat untuk mempelbagaikan khidmat sokongan kepada mangsa kes keganasan rumah tangga.

“Dasar Keluarga Selamat menyasarkan untuk menubuhkan FSP di setiap agensi kerajaan, pejabat agama, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), NGO serta pertubuhan agama.

Bagi memastikan FSP yang dilantik mempunyai kemahiran bagi mengendalikan kes keganasan rumah tangga, setiap FSP wajib menjalani latihan yang dikendalikan oleh Women’s Centre for Change (WCC) bersama-sama PWDC,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING