Pulau Pinang sasar negeri pertama di Malaysia guna 100 peratus lampu jalan jenis LED menjelang 2022, maklum Exco

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menyasarkan menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggunakan 100 peratus lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) yang lebih jimat tenaga, rendah kos penyelenggaraan dan mesra alam menjelang tahun 2022.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, di bahagian pulau, sebanyak 51 peratus daripada 34,104 lampu jalan jenis HPSV (High Presure Sodium Vapour) telah ditukar.

“Bakinya sebanyak 10,407 akan ditukar oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 6,246 unit lampu (Tenaga Nasional Berhad, TNB) akan ditukar secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020,” ujar beliau.

Manakala, bagi kawasan Seberang yang mempunyai keseluruhan 71, 709 lampu jalan, Jagdeep memaklumkan bahawa lampu jalan di bawah seliaan pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah pun bermula, manakala di bawah seliaan TNB, masih menunggu peruntukan dana daripada badan berkaitan.

Jelasnya, lampu jalan yang diselenggara oleh MPSP berjumlah 14,054 unit, manakala TNB (57,655 unit).

“Sebanyak 1,531 lampu jalan jenis LED telah dipasang di kawasan Seberang Perai, manakala bakinya pihak MPSP sedang menyediakan Request For Proposal (RFP).

“Bagi 57, 655 unit di bawah penyelenggaraan TNB negeri pula, mereka telahpun menghantar surat ke Ibu Pejabat TNB agar program Incentive Base Regulation (IBR Fasa 2) tersebut diperluaskan di kawasan pentadbiran MPSP,” jelasnya lanjut.

Hadir sama Ahli-ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT); Ir. A. Rajendran (Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP) dan wakil daripada TNB Pulau Pinang.

Bercakap mengenai agenda hijau yang sama, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu bahawa pada Mei lalu, MPSP muncul sebagai PBT pertama dalam negara yang menandatangani Memorandum Perjanjian Bersama (MoU) bagi pelaksanaan sistem Supply Agreement Renewable Enerfy (SARE) bagi pengurangan karbon melalui penggunaan tenaga solar.

“TNB telah bersetuju melakukan pemasangan panel solar ke atas tiga bangunan di bahagian Seberang iaitu Pejabat Cawangan MPSP Jalan Betik, Kompleks Sukan Jalan Betik dan Kompleks Sukan Bertam, manakala baki 28 bangunan lagi masih di peringkat kajian kedayahidupan projek.

“Projek SARE ini juga diharap dikembangkan ke bahagian pulau, di mana MBPP telah mengenal pasti 15 bangunan untuk melaksanakannya,” maklum beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING