PULAU BETONG – Pulau Pinang bersedia untuk menjadi venue bagi sukan floorball pada temasya Sukan SEA 2027 yang mana Kuala Lumpur telah dipilih sebagai tuan rumah.
Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, Pulau Pinang mempunyai banyak gelanggang yang boleh dipilih sebagai lokasi bagi acara-acara yang dipertandingkan.
“Setakat ini, Kerajaan Negeri dengan sokongan serta kerjasama Persatuan Billiard dan Snuker Pulau Pinang bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi acara billiard dan snuker.
“Selain itu, saya juga dimaklumkan pada satu perjumpaan, Persatuan Floorball Pulau Pinang selaku penganjur turut menyatakan hasrat untuk menganjurkan acara floorball pada Sukan SEA 2027.
“Walau bagaimanapun, cadangan ini akan diperhalusi dan diputuskan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” ujarnya pada Majlis Penutupan Kejohanan Floorball Remaja Kebangsaan 2025 di Dewan Pasar Awam Balik Pulau di sini semalam.
Tambah Zi Sen, beberapa lokasi seperti Nibong Tebal Arena, SPICE Arena, Seberang Perai Arena, PICCA Butterworth antara lokasi yang diteliti untuk penganjuran.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar; Presiden Persatuan Floorball Malaysia , Dr. Rizal Mohd. Razman dan Presiden Persatuan Floorball Pulau Pinang, Chiam Ter Min.

Pada kejohanan tersebut, pasukan lelaki dan wanita Pulau Pinang 21 tahun ke bawah berjaya mendapat tempat kedua di belakang Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI