Pulau Pinang tidak ‘gagal’, kedudukan kewangan diiktiraf sihat, catat lebihan kewangan

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pentadbirannya sempena Aidilfitri kali ini masih mampu memberikan ‘bonus raya’ 0.75 bulan gaji dengan kadar minimum RM1,000, sungguhpun digambarkan sebagai ‘negeri yang gagal’ oleh pembangkang Pulau Pinang.

“Sekiranya kita (Pulau Pinang) ‘negeri yang gagal’, mengapa mampu membayar bonus sekali ganda lebih besar berbanding Kerajaan Pusat yang hanya membayar (bonus raya) tunai RM500 sahaja,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Guan Eng memberitahu, gambaran Pasukan Komunikasi Strategik BN berjudul ‘Apakah P Pinang bakal jadi negeri gagal, soal BN’ dalam portal berita Malaysiakini 11 Jun lalu adalah tidak berasas sama sekali.

Kedua katanya, Pulau Pinang bukanlah ‘negeri yang gagal’ kerana rekod kewangan Kerajaan Negeri hari ini berada pada tahap sihat, sehingga mendorong Negara China sendiri melalui China Exim Bank menawarkan pinjaman modal.

Sehingga 31 Disember 2016, menurut Guan Eng, RM64.72 juta baki pinjaman belum selesai Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan menyamai 0.4 peratus sahaja, berbanding rekod hutang terbanyak empat negeri dikuasai Barisan Nasional (BN) seperti Pahang (RM3,116.91 juta/17.6 peratus); Sabah (RM2,828.25 juta/16.0 peratus); Sarawak (RM2,572.40 juta/14.5 peratus) dan Kedah (RM2,460.57 juta/13.9 peratus).

“Kalau negara China mahu meminjam wang, mereka akan meminjamkan kepada sebuah negara, iaitu Malaysia.

“Mereka (negara China) tidak akan meminjamkan wang kepada syarikat-syarikat, maka syarikat-syarikat tidak boleh memohon, mesti ‘negara dengan negara’ (G To G).

“Pulau Pinang bukanlah Kerajaan Persekutuan, tapi hanya Kerajaan Negeri, maka kita (Kerajaan Negeri) tiada hak untuk meminjam kecuali negara China sendiri ada minat pada negeri Pulau Pinang untuk menawarkan pinjaman ini,” responsnya sambil menyanggah dakwaan pembangkang kononnya Pulau Pinang ‘negeri yang gagal’.

Selain itu, Guan Eng menyatakan bahawa, lebihan kewangan Kerajaan Negeri saban tahun bukanlah bergantung pada premium hasil jual tanah semata-mata, seperti digambarkan pembangkang.

Menurutnya, terimaan hasil penjualan tanah Kerajaan Negeri sehingga tahun 2015 keseluruhan direkodkan sebanyak RM658 juta (RM657,653,691.91), sedangkan Keseluruhan Hasil Negeri sehingga tahun 2015 berjumlah RM4.9 bilion (RM4,946,918,428.64).

Tambah beliau, Perbelanjaan Mengurus Sebenar dalam tempoh tahun 2008 hingga 2015 pula adalah sebanyak RM4.3 bilion (RM4,367,978,440.90); menjadi lebihan kewangan (surplas) yang berjaya diperoleh oleh Kerajaan Negeri hari ini adalah sebanyak RM579 juta (RM578,939,987.74).

“RM658 juta (hasil premium tanah) kerana yang bakinya dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah tahun demi tahun mengikut jadual pembayaran.

“Walaupun yang diterima RM658 juta, tapi jangan lupa bahawa RM500 juta disalurkan sebagai dana Tabung Rumah Awam & Mampu Milik; baki (daripada hasil jual tanah) sebanyak RM158 juta (RM157,653,691.91) hanya 3.18 peratus daripada keseluruhan Hasil Negeri (RM4.9 bilion).

“Walaupun RM826 juta (RM825,881,481.01) Perbelanjaan Mengurus bagi tahun 2015 adalah bertambah berbanding tahun 2014 (sejumlah RM745,541,768.41), tetapi saban tahun Kerajaan Negeri masih mencatatkan lebihan kewangan.

“Ini menunjukkan kedudukan kewangan kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) adalah sihat dan ini diakui dalam Laporan (Tahunan) Ketua Audit Negara,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Berbanding negeri-negeri lain, Guan Eng berkata, beliau percaya kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini adalah terbaik di Malaysia.

Di samping itu, beliau turut menyanggah tuduhan ketiga pembangkang Pulau Pinang kononnya Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang juga mencatatkan lebihan kewangan melalui penjualan tanah semata-mata, seperti Kerajaan Negeri.

“Akaun Kerajaan Negeri dan PDC adalah berasingan dan berlainan.

“Kita tidak boleh campur-aduk keduaduanya…sama juga apabila kita sebut penjualan tanah oleh (Kerajaan Negeri era) Barisan Nasional (BN) dahulu, tidak boleh dicampur-aduk dengan penjualan tanah oleh PDC dalam Kerajaan Negeri.

“PDC telah menjual tanah (dengan nilai) sebanyak RM1,944 juta, yang mana RM1,600 juta telah diterima mengikut pembayaran berjadual.

“Akan tetapi, PDC telah membelanjakan RM2,287 juta (RM2,287,482,840.39) untuk menjalankan pelbagai projek infrastruktur.

“Sungguhpun PDC telah membelanjakan RM2,287 juta, dia masih boleh mencatatkan keuntungannya tiap-tiap tahun,” ujar Guan Eng sambil menyifatkan propaganda UMNO BN memburukkan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan tanpa berfakta menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) belakangan ini sebagai ‘kempen tak bermaruah’.