Teroka, hasil produk orientasi pelanggan untuk terus kekal dalam pasaran industri perabot, seru KM

Admin

PANTAI JEREJAK – Industri perabot dijangka menyumbang RM16 bilion kepada pendapatan negara menjelang tahun 2020.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa industri perabot di Malaysia, khususnya produk kayu menyumbang dengan ketara kepada jumlah eksport bernilai RM9.53 bilion pada tahun 2016, iaitu menyaksikan peningkatan 4.2 peratus berbanding 2015.

“Kini, industri perabot adalah salah satu kelompok yang paling berjaya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana, dengan Malaysia sebagai pengeksport kelapan terbesar di seluruh dunia.

“Saya yakin prestasi eksport produk perabot akan terus bertambah baik pada tahun-tahun akan datang.

“Tetapi, kita tidak seharusnya terlalu selesa dan bergantung kepada kejayaan ini, sebaliknya saya menggesa industri (perabot) untuk meneroka potensi pasaran yang sedang berkembang dengan menghasilkan produk-produk berorientasikan pasaran untuk terus kekal dalam waktu mencabar,” ujarnya yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Guan Eng sebelum itu merasmikan Majlis Pembukaan Penfurnex 2017 anjuran Persatuan Industri Perabot dan Kayu Pulau Pinang (PFTIA) di Subterranean Penang International Convention
and Exhibition Center (SPICE) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Penfurnex, Yee Xheng Yip dan Presiden PFTIA, Hendry Kong.

Dalam pada itu, Guan Eng yakin bahawa Penfurnex merupakan satu platform terbaik kepada pemainpemain industri untuk mempamerkan produk-produk mereka dan bertukar idea mengenai trend serta keperluan pengguna.

“Dengan penganjuran ini setiap tahun ia akan membantu pemainpemain industri perabot untuk meneroka peluang kedua di pasaran antarabangsa mahupun domestik,” ujarnya.