Pusat perlu ambil langkah lebih holistik tangani banjir – Exco

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, risiko bencana seperti ‘bah merah’ di Kelantan baru-baru ini mungkin boleh dikurangkan sekiranya Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan untuk projek tebatan banjir berwajib mengikut jadual pentadbiran yang ditetapkan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkenaan, Pulau Pinang sendiri masih belum menerima peruntukan tebatan bajet yang telahpun diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) daripada Putrajaya, walaupun RMK10 dijadual berakhir pada bulan Mei depan.

Tambahnya, perkara berbangkit tersebut sekaligus mengakibatkan rancangan Kerajaan Pulau Pinang untuk memperluas serta memperdalam sungai dari Sungai Pinang ke Sungai Air Itam di bawah Fasa Dua Projek Tebatan Banjir Sungai Pinang yang menelan belanja RM150 juta turut tergendala.

“Kerajaan Pusat perlu mengambil langkah yang lebih holistik untuk menangani masalah banjir ini, kerana ini adalah masalah berbangkit sejak dahulu lagi.

“Saya amat marah kerana terdapat 22 projek tebatan banjir di seluruh Malaysia yang menelan belanja lebih daripada satu bilion Ringgit Malaysia, antaranya ialah di Pantai Timur.

“Kerajaan Pusat perlu memberi keutamaaan pada masalah ini, tetapi mereka seolah-olah begitu sibuk dengan pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan sebagainya,” tegas Jagdeep semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Natal dan Tahun Baru 2015 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Keramat di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepatutnya segera memindahkan keupayaan kewangan, tenaga manusia serta kepakaran Putrajaya untuk usaha-usaha memulihkan semula Kelantan pasca banjir, bukannya asyik cakap-cakap politik menerusi media semata-mata.

Jelas Jadgeep, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya segera mengumumkan pelan pemulihan pasca bencana banjir dengan lebih jelas untuk Kelantan, seperti rancangan membina semula sistem jalan raya yang lebih selamat serta pemajuan rumah mampu milik secukupnya untuk seluruh mangsa bencana di negeri tersebut.

Pada masa sama, Jagdeep turut mencadangkan Kerajaan Pusat supaya mengemukakan rancangan persiapan menghadapi bencana seperti diamalkan di negara-negara maju, memandangkan kebarangkalian malapetaka seperti ‘Bah Merah’ di Kelantan sudah mampu diramal menggunakan peralatan teknologi tinggi kini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Pulau Pinang pada Disember tahun lepas telahpun meluluskan Bajet 2015 berjumlah RM13.9 juta serta tambahan RM10 juta lagi untuk projek tebatan banjir serta menaiktaraf sistem perparitan yang diharap dapat mengurangkan risiko bencana di negeri ini kelak.