PWSA bantu kakitangan teknikal industri air lebih kompeten

Admin

SEBERANG JAYA – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memuji usaha Akademi Perkhidmatan Air Pulau Pinang (PWSA) dalam terus berusaha memastikan semua kakitangan teknikal industri air di Malaysia dilatih dengan teknik yang betul bagi menjalankan tugas secara cekap dan berkesan.

 

 

 

Katanya, perkara tersebut selaras dengan kehendak petunjuk prestasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang mahukan pengendali industri air diperakui kompeten di bawah Seksyen (49) 1 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

 

 

 

“Kompetensi dalam konteks SPAN ditakrifkan sebagai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), iaitu pensijilan dalam satu bidang atau bidang-bidang kepakaran teknikal dalam operasi bekalan air.

 

 

 

“Ini adalah keperluan yang rasional dan bertanggungjawab kerana bekalan air adalah perkhidmatan perlu untuk negara.

 

 

 

“Oleh kerana permintaan air yang meningkat dan kesan perubahan iklim yang semakin ketara, berbilion ringgit telah dilaburkan untuk menaik taraf infrastruktur bekalan air dan mengoptimumkan sumber air di Pulau Pinang dan seluruh negara,” ujar Zakiyuddin pada Istiadat Konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Kali Kedua Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. dekat Dewan Politeknik Seberang Jaya di sini pagi tadi.

 

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holding Bhd., Ir. K. Pathmanathan; Ketua Pengarah jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), (Ts.) Dr. Mohamad Sulaiman dan Pengarah Bahagian Pembangunan dan Audit Industri SPAN, Arni Sahrina Shaharum.

 

 

 

 

Selain menaik taraf infrastruktur air, Zakiyuddin berkata, PBAPP terus memberi keutamaan dan mengoptimumkan latihan kecekapan untuk kakitangan teknikal industri bekalan air.

 

 

 

“Kakitangan yang terlatih sebagai kompeten kurang cenderung untuk membuat kesilapan dalam melaksanakan tugasan mereka dan lebih mampu mengelak sebarang insiden tidak diingini.

 

 

 

 

“Saya difahamkan, PWSA yang diletakkan di bawah PBA Resources Sdn. Bhd., kini turut melebarkan sayap ke seleluruh negara untuk membantu menyediakan latikan kecekapan yang diiktiraf oleh kerajaan untuk kakitangan indsutri air.

 

 

 

Mengulas lanjut, Zakiyuddin memaklumkan, pelbagai memorandum persefahaman (MoU) dan kerjasama bersama pihak berkepentingan dari dalam dan luar negara telah dimeterai PWSA dalam melahirkan kakitangan kompeten.

 

 

 

 

Pathmanathan dalam pada itu memaklumkan seramai 193 graduan menerima sijil dan diperakui kompeten di bawah program kendalian SLDN itu.

 

 

Tambahnya, konvokesyen tersebut menjadikan 97 peratus daripada 230 juruteknik kanan syarikat itu memperolehi SKM, bakinya akan dilengkapkan pada tahun ini juga.

 

 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLKI

Gambar: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR