Rakyat Pulau Pinang sambut baik kelulusan projek LRT Komtar – Bayan Lepas

Admin

HASRAT Pulau Pinang untuk membina Transit Aliran Ringan (LRT) dari Komtar ke Bayan Lepas kian menjadi kenyataan apabila Kementarian Pengangkutan Malaysia (MOT) baru-baru ini memberi kelulusan bersyarat bagi projek berkaitan.

Perkembangan mutakhir itu dilihat bukan hanya memberi kelegaan kepada Kerajaan Negeri, malah ia turut membangkitkan rasa teruja dan gembira dalam kalangan warga negeri.

Tinjauan wartawan Buletin Mutiara SUNARTI YUSOFF dan SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN bersama-sama jurugambar NOOR SITI NABILAH NOORAZIS dan NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN mendapati rata-rata warga Pulau Pinang yang ditemui menyambut baik keputusan tersebut.

ILHAM ABDUL HALIM.

Bagi jurutera, ILHAM ABDUL HALIM, 29, berpendapat bahawa Pulau Pinang sememangnya memerlukan pengangkutan awam lebih cekap seperti LRT bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang tidak berkesudahan.

“Sudah semestinya saya gembira dengan perkara ini kerana kita sedia maklum bahawa Pulau Pinang memang berdepan masalah kesesakan lalu lintas yang sangat kritikal selain kekurangan kawasan tempat letak kereta.

“Justeru, saya melihat dengan adanya LRT masalah ini akan dapat diatasi kerana saya percaya rakyat lebih memilih menggunakan pengangkutan awam yang lebih cekap, cepat dan efisien berbanding terpaksa meredah kesesakan jalan raya,” jelasnya yang kerap berulang alik atas faktor kerjaya menggunakan kapal terbang.

NUR HANIS ABDULLAH SANI.

Begitu juga, NUR HANIS ABDULLAH SANI, 22, seorang pelajar memberitahu bahawa pembinaan LRT dari Komtar ke Bayan Lepas mampu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

“Seperti yang kita tahu, setiap hari Jumaat jalan akan sesak dan melambatkan urusan semua pihak.

“Oleh itu, dengan pembinaan LRT, warga negeri akan kurang menggunakan kereta sebaliknya menggunakan perkhidmatan awam.

“Saya juga berharap agar tambang yang dikenakan kelak lebih murah berbanding harga teksi dan perkhidmatan e-hailing,” katanya yang menyambut baik pelaksanaan projek berkaitan.

KHOR SIN JO.

Sementara itu, KHOR SIN JO, 18, berkata, sebagai seorang pelajar beliau berharap agar pembinaan LRT dapat disambung ke bahagian Seberang Perai pada masa akan datang.

“Cuma kita harap apabila LRT siap nanti tambang yang dikenakan haruslah berpatutan supaya objektif pembinaannya untuk mengurangkan kesesakan jalan raya dapat dicapai.

“Walaupun LRT adalah pengangkutan yang cepat dan cekap tapi faktor tambang juga amat penting lebih-lebih lagi untuk pelajar seperti kami,” responsnya.

HAFIZAH ABD. HALIM.

HAFIZAH ABD. HALIM, 32, pegawai kewangan berharap agar Kerajaan Negeri menitikberatkan penjagaan alam sekitar sepanjang proses pembinaan LRT kelak.

“Saya percaya setiap pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah demi kepentingan rakyat terbanyak tetapi dalam pada masa sama kita harap faktor-faktor berkaitan alam sekitar perlu diberi perhatian sewajarnya,” ujarnya lagi.

S. SEVENDTY.

Bagi jurujual, S. SEVENTDY, 19, pula menyifatkan keputusan meluluskan pembinaan LRT biarpun dengan syarat-syarat tertentu adalah permulaan yang baik bagi perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini.

“Sudah tentu saya setuju kerana LRT adalah pengangkutan awam yang paling sesuai dengan keadaan negeri padat dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong sama ada dari dalam dan luar negeri,” katanya.

ZAINAL JAHRI.

Seorang peniaga, ZAINAL JAHRI, 57, memberitahu bahawa dengan adanya LRT akan menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.

“Sepertimana tarikan feri Pulau Pinang, diharapkan dengan adanya LRT, jumlah pelancong lebih meningkat.

“Saya juga akan menggunakan perkhidmatan LRT kerana lebih pantas dan menjimatkan masa,” ulasnya semasa ditemui dekat Jeti Pangkalan Raja Tun Uda pagi ini.

AHMAD FAIZAL MUSTAPA.

Dalam pada itu, AHMAD FAIZAL MUSTAPA, 50, pemandu bas pula kurang bersetuju terhadap rancangan Kerajaan Negeri untuk pembinaan LRT.

“Sepanjang proses pembinaan jajaran LRT kelak, banyak bangunan seperti masjid, tanah perkuburan serta rumah kedai akan dimusnahkan.

“Bukan itu sahaja, projek yang bakal memakan masa bertahun-tahun untuk disiapkan ini turut akan memberi kesan dan menjejaskan pendapatan harian warga negeri.

“(Dan) semestinya ia akan menjejaskan pendapatan kami (pemandu bas) kerana tidak akan ada lagi kerja lebih masa dan sebagainya,” responsnya lagi.