REE: Pulau Pinang tidak terburu-buru, utamakan kelestarian alam sekitar – Exco

Admin
f59a09ef a211 4e84 959b 05fc8687a57a

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini tidak akan membuat pertimbangan secara terburu-buru berhubung sebarang cadangan penerokaan dan perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Pulau Pinang.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, walaupun sumber mineral tersebut kini mendapat perhatian global bagi industri berteknologi tinggi dan ekonomi hijau, penelitian menyeluruh adalah mandatori sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurut beliau, aspek kepentingan alam sekitar, sumber air, keselamatan cerun serta kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap penilaian kebolehlaksanaan yang dijalankan.

“Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Malah, kita kini dalam tindakan menggubal Peraturan-Peraturan Mineral Negeri Pulau Pinang bagi memastikan sebarang pembangunan NR-REE dilaksanakan secara terkawal, berintegriti dan mampan,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 13 Mei 2026.

Mengulas lanjut, Sundarajoo menyatakan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi jika permohonan penerokaan dan perlombongan sumber semula jadi melibatkan kawasan sensitif seperti hutan simpan, Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), kawasan tadahan air dan tanah pertanian berkualiti tinggi.

“Semua cadangan wajib mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan proses Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA),” tegas beliau.

Menyentuh mengenai kebimbangan implikasi geopolitik dan penyalahgunaan REE untuk tujuan persenjataan, beliau memberi jaminan bahawa Pulau Pinang sentiasa berpandukan dasar Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, operasi REE di Malaysia tertakluk kepada pelbagai lapisan kawalan termasuk Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dan pemantauan ketat agensi keselamatan serta dasar pelaburan negara.

Dalam perkembangan lain, Sundarajoo turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha mengangkat tiga hutan simpan di Seberang Perai Utara sebagai sebahagian daripada rangkaian East Asian–Australasian Flyway Partnership (EAAFP).

Beliau memberitahu bahawa kawasan yang dimaksudkan adalah Hutan Simpan Kuala Bekah, Hutan Simpan Pasir Gebu dan Hutan Simpan Lahar Endin.

“Langkah strategik ini bertujuan melindungi habitat kritikal burung migrasi dan memperkukuh kedudukan kawasan tersebut sebagai ‘ecological hotspot’ bagi kestabilan ekosistem pesisir pantai.

“Selain nilai saintifik, pengiktirafan antarabangsa ini berpotensi merancakkan ekopelancongan berimpak rendah yang akan memberi manfaat ekonomi terus kepada komuniti setempat,” jelasnya.

Sebagai langkah tambahan dalam pemuliharaan alam sekitar, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini di peringkat akhir menyediakan Permohonan Cadangan (RFP) bagi Program Sungai Hijau.

“Program tersebut memfokuskan kepada peningkatan kualiti air dari muara sungai utama melalui pemantauan saintifik bagi memastikan ekosistem, termasuk di kawasan Pantai Esen, kekal mampan untuk generasi akan datang,” ulasnya kepada Speker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang, sebelum sesi persidangan dewan ditangguhkan sementara pada 1.00 petang tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD