Ribut: MBPP, MPSP giat laksana pembersihan, dijangka pulih dua tiga hari lagi – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) masih giat melakukan pembersihan pokok-pokok tumbang dalam kejadian badai ribut tekima yang berlaku empat hari lalu.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dalam sidang media sebentar tadi memaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari lagi sebelum keadaan pulih seperti sedia kala.

 

“Dalam kejadian tersebut, sebanyak 236 lokasi telah dikenal pasti pihak MBPP membabitkan sejumlah 247 pokok tumbang dan daripada jumlah tersebut, 244 pokok telah selesai ditebang dan membawa kepada prestasi penyelesaian 98.7 peratus.

 

“Manakala, di kawasan pentadbiran Seberang Perai, Majlis telah mengenal pasti 343 lokasi dengan 412 pokok tumbang, 391 (pokok) daripadanya telah selesai ditebang dan membawa kepada 95 peratus prestasi penyelesaian.

 

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap anggota PBT yang masih bertungkus-lumus di lokasi-lokasi terjejas, mereka adalah wira,” ujarnya sambil memaklumkan bahawa pokok-pokok yang telah siap ditebang masih ada yang belum dipindahkan ke tapak pemindahan iaitu MBPP sebanyak 67.8 peratus dan MPSP (61.2 peratus).

Hadir sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

 

Sementara itu, bagi kediaman yang terjejas akibat ribut tersebut, Jagdeep memaklumkan bahawa Penghulu bagi setiap daerah (lima daerah) masih membuat bancian.

 

“Bagi kediaman yang terjejas belum dikenal pasti, walau bagaimanapun mereka yang terjejas akan menerima bantuan daripada Tabung Yang di-Pertua Negeri (TYT),” maklum beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat selepas sidang media pengumuman Pewartaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Taman Botani Pulau Pinang di sini pagi ini.

 

 

Dalam pada itu, Tung Seang ketika berucap merakamkan rasa syukur ekoran MBPP sebelum ini telah mengambil tindakan untuk mencantas dahan pokok di beberapa kawasan utama sebelum kejadian ribut berkenaan.

 

“Ini sedikit sebanyak membantu untuk mengurangkan insiden pokok tumbang, jika tidak semestinya kesan daripada taufan tersebut lebih teruk berlaku di kawasan pulau kerana pada hari pertama kita (MBPP) menjangkakan sekitar 180 pokok yang tumbang sahaja.

 

“Pokok-pokok (tumbang) ini telah ditebang dan sebahagiannya masih menunggu untuk di bawa ke tapak pemindahan,” ujarnya lanjut.

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD