RM1.46 juta naik taraf Robina Eco Park MBSP sebagai tarikan pelancongan rekreasi

Admin

TELUK AYER TAWAR – Projek penarafan kawasan rekreasi pantai dekat Taman Robina menjadi Robina Eco Park MBSP menelan belanja kira-kira RM1,464,000.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi tadi memberitahu bahawa kerja-kerja penarafan dalam fasa kali ini adalah melibatkan 4.5 ekar daripada 6.664 ekar keseluruhan keluasan taman rekreasi yang menjadi salah satu tarikan pelancongan rekreasi bagi daerah Seberang Perai Utara (SPU).

KETUA Menteri

“Saya begitu gembira (kerana) ruang awam ini berjaya diubah pada satu ruang awam yang boleh membawa keselesaan kepada pengunjung serta penduduk sekitar (kawasan ini),” jelasnya selepas menyempurnakan acara perasmian pembukaan Robina Eco-Park di sini pada 25 Julai 2020.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Ayer Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zulkifli Rashid; Ketua Polis Daerah SPU, Asistan Komisioner Noorzainy Mohd. Noor: Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod dan beberapa barisan ahli majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa pihaknya akan mendapatkan maklum balas pihak MBSP mengenai fasa selanjutnya projek penarafan baki lebih 2 ekar tanah di kawasan rekreasi eko pelancongan tersebut.

KETUA Menteri menandatangani plak Robina Eco Park di sini pada pagi tadi. 

Selain itu, beliau turut menzahirkan rasa gembira kerana kempen ‘Jom! Experience Penang’ yang dilancarkan oleh beberapa agensi negeri pada hujung bulan Jun lepas seakan merangsang kembali sektor pelancongan domestik di Pulau Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri) mendapat (kempen ‘Jom! Experience Penang’) mendapat respons bagus terhadap pelancongan domestik.

“Sebagai contoh, kadar tawaran pakej penginapan khususnya di kawasan Tanjung Bunga dan satu lagi adalah dekat Bukit Bendera.

“Sektor pelancongan domestik di Pulau Pinang) sekarang ini macam pulih kembali seperti sebelum (COVID-19), pengunjung kena beratur sampai dua jam untuk turun dari (puncak) Bukit Bendera

“Angka yang direkodkan (ke Bukit Bendera) sudah mencapai 8,000 pengunjung dalam satu hari, angka itu macam biasa sebelum berlaku COVID-19 dengan purata pengunjung harian adalah antara 8,000 hingga 10,000 orang pada hujung minggu dan musim cuti,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Pun begitu, beliau berkata bahawa sektor pelancongan perubatan negeri masih terjejas dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 disebabkan pintu sempadan negara masih ditutup kepada pelancong asing untuk berkunjung ke Pulau Pinang.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa kelmarin Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) baru bermesyuarat berhubung perkembangan semasa kemungkinan menghadapi gelombang kedua COVID-19.

“Kita akan cuba mengelak gelombang kedua COVID-19 daripada berlaku, kerana kesan berantai pada sektor ekonomi adalah amat besar.

“Ketetapan (mesyuarat) adalah kita tidak mahu gelombang seterusnya, maka SOP (prosedur operasi standard) perlu dipatuhi secara ketat,” tegas beliau.

Sebelum itu, Rozali memberitahu bahawa projek penarafan Taman Robina Eco-Park merupakan salah satu usaha MBSP mempelbagaikan kemudahan rekreasi, sukan, seni, warisan dan budaya demi merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“MBSP juga sedang memperbesarkan Taman Eco-Coridor di Bandar Perda (dekat Seberang Jaya) dengan kos sebanyak RM930,000 dan naik taraf parit di Menara MBSP menjadi ‘People’s Aquarium’ dengan kos sebanyak RM34,240,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING