RM185,200 kos naik taraf dua lif baharu, CCTV di Flat Ampang Jajar

Admin

BAGAN JERMAL – Projek penarafan dua lif serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dekat sekeliling bangunan rumah pangsa Taman Ampang Jajar dengan kos keseluruhan sebanyak RM185,200 diharap dapat meningkatkan lagi tahap keharmonian penduduk lokal di sini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal memberitahu bahawa daripada kos tersebut Pusat Khidmat KADUNnya membiayai RM92,200, sementara baki RM93,000 lagi dibiayai oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

“Projek ini melibatkan kerja-kerja pertukaran panel operasi, panel kawalan, butang panggilan dan syaf lif.

“Projek ini telah siap kerja pada bulan Jun 2020 dan dua buah lif telah berfungsi dalam keadaan baik,” jelasnya dalam Majlis Perasmian Projek Penarafan Dua Buah Lif Dan Pemasangan CCTV di Flat Ampang Jajar tersebut pada 27 Disember 2020.

Menurut Lip Chee, pihaknya terus berbincang dengan pihak Guan Eng setelah menerima aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Ampang Jajar pada bulan Ogos tahun lepas.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Guan Eng kerana meluangkan masa untuk menyempurnakan acara perasmian bersama-sama komuniti lokal.

Guan Eng yang berucap selepas itu antara lain sekali lagi merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya membekalkan tiap-tiap pelajar seunit komputer riba untuk tujuan pembelajaran secara dalam talian, memandangkan sesiapa pun tidak tahu bilakah pandemik COVID-19 akan berakhir.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan memberitahu bahawa peruntukan persekutuan kira-kira RM4 bilion sudah cukup untuk membiayai kos penyediaan komputer riba kepada 2.5 juta pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga kolej.

“Sekurang-kurang mesti ada alternatif…komputer tiba adalah suatu utiliti keperluan yang wajib untuk anak-anak kita belajar secara dalam talian,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN