RM20 bilion hasil GST cukup tampung ketirisan Pusat – Anwar Ibrahim

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dianggarkan menjana RM20 billion pendapatan tambahan negara hanya cukup untuk menampung jumah ketirisan, pembaziran serta penyelewengan wang rakyat yang didakwa membabitkan tadbir urus Kerajaan Pusat.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Pakatan Rakyat akan terus membangkang pelaksanaan GST sehinggalah tadbir urus Kerajaan Pusat benar-benar tidak menyeleweng lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasrat pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu membentangkan rang undang-undang pelaksanaan GST sempena berlangsungnya sidang Dewan Rakyat, sekarang.

“Dengan GST ini, pendapatan akan bertambah lebih kurang RM20 bilion. Saya nak jawab, yang bocor, tiris dan rasuah pun sudah RM20 bilion.

“Menteri kata, hasil (pendapatan negara) akan bertambah, tetapi, tidak membebankan. Ya, yang bermasalah rakyat, bukan Menteri kerana (kadar) GST yang naik pukul rata tujuh peratus, apakah gaji (rakyat) naik tujuh peratus,” tanya Anwar dalam satu siding media di sini baru-baru ini, sebelum, mengadakan lawatan ringkas bertemu rakyat di Pasar Basah Seberang Jaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa Dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Mustafa Kamal Mohd. Yusof (Setiausaha Pakatan Rakyat Pulau Pinang) turut hadir pada sidang media itu.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut mempertikai kenyataan Panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Johan Jaafar yang mencadangkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu antara lain mendedahkan bahawa kehilangan gari mencatat kes paling tinggi, iaitu sebanyak 156, diikuti, senjata api (44) dan

kenderaan polis (29).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam reaksi spontan dilaporkan berdalih, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa semua senjata yang didedah hilang itu terjatuh di dalam laut.

Tuntas itu, Anwar berkata, sepatutnya SPRM boleh terus membuka kertas siasatan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 tersebut.

“SPRM perlu siasat…tak perlu tubuh jawatankuasa untuk kaji laporan ini kerana laporan ini antara dokumen penting yang diiktiraf negara,” tegas Anwar.