RMKu dijangka manfaatkan 1.1 juta rakyat Pulau Pinang menjelang 2030 – Exco

Admin
dsc06353

GEORGE TOWN: Lebih 60 peratus atau kira-kira 1.1 juta daripada 1.8 juta penduduk Pulau Pinang dijangka menikmati perumahan mampu milik di bawah jenama Rumah MutiaraKu (RMKu) menjelang tahun 2030.

Sasaran itu selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan sebanyak 220,000 unit RMKu dalam tempoh berbaki empat tahun.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, unjuran tersebut dibuat berdasarkan anggaran purata lima penghuni bagi setiap unit rumah yang dibangunkan.

“Saya percaya sasaran itu mampu dicapai dan kita yakin mampu menyediakan sebanyak 220,000 unit RMKu menjelang 2030.

“Berdasarkan anggaran purata sebuah keluarga terdiri daripada lima orang iaitu pasangan suami isteri dan tiga orang anak, ia mampu memberi manfaat kepada kira-kira 1.1 juta penduduk.

“Ini bermakna lebih 60 peratus daripada keseluruhan populasi Pulau Pinang akan berpeluang memiliki rumah impian menerusi inisiatif RMKu yang ditawarkan pada pelbagai kategori harga.

“(Dan) ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Projek RMKu C3 Sandilands Foreshore di Gat Lebuh Sandilands, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yue Harng dan Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Khairulnizam Hashim.

Mengulas lanjut, Sundarajoo yang juga ADUN Perai berkata bahawa RMKu dibangunkan bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pelbagai lapisan rakyat akan dapat menikmati RMKu mengikut kategori pendapatan masing-masing.

“Mereka yang berpendapatan lebih tinggi boleh memohon rumah kategori lebih tinggi berharga sehingga RM300,000, manakala golongan berpendapatan rendah masih berpeluang memiliki rumah berharga RM100,000 ke bawah mengikut syarat yang ditetapkan.

“Jika dilihat kepada pembangunan Pulau Pinang ketika ini, sistem pengangkutan awam juga semakin dipertingkatkan.

“Pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara akan terus merancakkan pembangunan negeri ini apabila siap dalam tempoh kurang dua tahun lagi.

“Selain itu, bagi memenuhi permintaan terhadap RMKu, kita turut memperkenalkan produk Kelas D yang menawarkan rumah teres berharga tidak melebihi RM400,000 di kawasan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan,” katanya.

Terdahulu, beliau turut meninjau perkembangan Projek RMKu C3 Sandilands Foreshore yang telah siap sepenuhnya dan dijangka mula diduduki pada 31 Ogos depan.

Projek setinggi 38 tingkat itu menyediakan sebanyak 321 unit kediaman berkeluasan 65 meter persegi, dengan setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: LPNPP