Rosli angkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu

Admin

GEORGE TOWN – Dato’ Rosli Isa mengangkat sumpah jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu pagi ini.

Rosli melafazkan ikrar sumpah jawatan dan rahsia dan disusuli dengan acara menandatangani dokumen rasmi pelantikan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; barisan Exco Kerajaan Negeri serta Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini.

Selepas majlis tersebut, Rosli turut menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang pertama hari ini.

Difahamkan, pelantikan Rosli sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa pada 4 Oktober 2023 bagi menggantikan Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Beliau sebelum ini pernah bertugas di Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai Ketua Setiausaha kementerian dan dilantik sebagai Anggota Pihak Berkuasa di Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD