Sambutan luar biasa, lebih 6,000 sukarelawan sertai World Cleanup Day 2025

Admin
fb img 1756282713442

BUKIT TAMBUN – Ribuan sukarelawan membanjiri Jeti Batu Musang dekat Batu Kawan bagi menjayakan Program Let’s Cleanup World sempena World Cleanup Day 2025 peringkat kebangsaan yang mana Pulau Pinang muncul sebagai negeri yang mencatatkan penyertaan tertinggi.

 

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, penganjuran tahun ini menyaksikan sambutan yang amat membanggakan dengan penyertaan hampir 10,000 peserta di seluruh negara dan Pulau Pinang merekodkan jumlah tertinggi dengan 6,617 peserta, terdiri daripada guru, pelajar, ibu bapa, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan penaja.

 

“Jumlah penyertaan ini mencerminkan komitmen seluruh masyarakat dalam menjaga kelestarian alam sekitar di negeri ini,” ujarnya pada majlis perasmian program berkaitan di sini baru-baru ini.

 

fb img 1756282700345
SEBAHAGIAN sukarelawan yang mengambil bahagian dalam Program Let’s Cleanup World sempena World Cleanup Day 2025 di sini baru-baru ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Pengarah Perkhidmatan Perbandaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rashidah Jalaludin; Pengerusi Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW), Khou Jerome; wakil National Leader World Cleanup Day Malaysia, Henry Teh serta wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan barisan ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

Dalam ucapannya, Sundarajoo yang juga ADUN Perai menegaskan bahawa isu kebersihan adalah berpunca daripada sikap segelintir masyarakat sendiri dan tidak boleh dianggap remeh atau disandarkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata.

 

Masalah ini berpunca daripada kita sendiri kerana masih ada individu yang membuang sampah dari kenderaan, meninggalkan sisa makanan di tempat awam dan menyerahkan tanggungjawab kepada pekerja pembersihan.

 

“Oleh itu, kita mesti ubah sikap dan menjadikan kebersihan satu gaya hidup, bukan hanya kempen bermusim,” tegasnya.

 

fb img 1756282651688
PESERTA yang mengambil bahagian di Taman Eko Rimba Bukit Mertajam.

 

Jelasnya lagi, di Pulau Pinang, setiap isi rumah menghasilkan purata 1.04 kilogram sisa setiap orang sehari.

 

“Sebanyak 31.83 peratus daripada sisa ini boleh dikitar semula manakala 50.96 peratus adalah sisa organik.

 

Maka, bermula 1 Mac lalu sehingga 31 Ogos ini, Kerajaan Negeri melaksanakan tempoh pendidikan dan kesedaran mengenai larangan beg plastik sekali guna.

 

“Selain itu, 100,000 beg guna semula percuma turut diagihkan bagi menggalakkan perubahan tingkah laku jangka panjang pengguna.

 

“Malah, Kerajaan Negeri juga sedang membangunkan satu kerangka kerja menyeluruh secara berperingkat untuk menghapuskan plastik sekali guna.

 

“Langkah ini bukan sekadar peraturan tetapi ia adalah satu anjakan budaya dan usaha kolektif semua pihak,” katanya lagi.

 

fb img 1756282633913
PESERTA di jajaran Sungai Rambai, Padang Lalang merakamkan gambar kenang-kenangan berlatarbelakangkan mercu tanda ‘I ❤️ Sungai Rambai’.

 

Beliau turut menyeru agar masyarakat mencontohi amalan baik di negara-negara maju dalam menjaga kebersihan di ruang awam dengan disiplin tinggi.

 

Langkah kecil seperti membuang sampah di tong yang disediakan, mengasingkan sisa dan membudayakan kitar semula boleh memberi impak besar terhadap kelestarian alam sekitar.

 

“Tindakan kita pada hari ini dalam memastikan bumi kita bersih adalah hadiah paling berharga untuk generasi masa depan,” katanya yang yakin bahawa usaha ini mampu menyemai budaya kitar semula dan amalan kebersihan sebagai sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia.

 

img 20250827 wa0016
PLASTIK sekali guna, botol plastik dan puntung rokok antara sisa buangan paling banyak dikutip pada hari tersebut.

 

Dalam pada itu, Baderul Amin dalam ucapannya memaklumkan bahawa program ini merupakan bukti kerjasama erat antara pihaknya dan GREW, selaras dengan agenda global Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

Di Seberang Perai sahaja, sembilan lokasi strategik telah dikenal pasti, melibatkan seramai 2,230 peserta daripada pelbagai latar belakang.

 

“Sehingga tahun 2024, jumlah sisa kitar semula yang berjaya dikutip mencecah 6,141.96 kilogram yang mana ini bukan sekadar angka, tetapi lambang kejayaan kolektif hasil dedikasi semua pihak,” jelasnya.

 

Menurutnya lagi, MBSP yakin program ini akan menjadi pemangkin budaya kebersihan dan kelestarian, khususnya dalam kalangan generasi muda, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Seberang Perai sebagai bandar raya rendah karbon, hijau dan berdaya huni.

 

img 20250827 wa0012
PARA sukarelawan bersama-sama plakad ‘Think Green’.

 

Sementara itu, Khou Jerome memberitahu bahawa selain Pulau Pinang, negeri-negeri seperti Johor, Kedah, Perak, Sabah, Selangor dan Melaka turut menyertai insiatif global ini dengan kehadiran 3,087 peserta.

 

Secara keseluruhannya, terdapat 77 lokasi pembersihan di seluruh negara yang mana 35 daripadanya di Pulau Pinang melibatkan 92 sekolah dan 42 lagi di negeri-negeri lain.

 

“Penyertaan teramai ini membuktikan kesedaran masyarakat terhadap isu kebersihan dan kelestarian semakin kukuh dari tahun ke tahun,” katanya.

 

Difahamkan, program tahun ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai penaja utama termasuk Restoran Thong Ne Thae; PGF Capital; Lone Pine Hotel; Rainbow Paradise Beach Resort; Angsana Teluk Bahang; Lexis Hotel; Olive Tree Hotel; Shangri-La’s Rasa Sayang Resort; Queensbay Q1; Nestlé Malaysia; McDonald’s Malaysia; UOB Bank; Teong Huat Medical Sdn. Bhd., Farm Fresh serta Penang Green Council.

 

Kerjasama erat turut dizahirkan oleh MBPP, MBSP, Aimpactz, Redo dan Panjam selaku penganjur bersama, selain sekolah-sekolah terpilih yang menjadi lokasi utama pembersihan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : GREW