Segera bayar cukai taksiran MBSP, rebut cabutan bertuah sehingga RM8,888 tunai

Admin
SR. Rozali Mohamud

SEBERANG JAYA – Penduduk di Seberang Perai yang berjaya melangsaikan semua cukai taksiran bagi bil penggal kedua tahun 2021 serta semua tunggakan secara dalam talian bagi tempoh yang ditetapkan layak untuk memenangi hadiah cabutan bertuah tempat pertama sehingga RM8,888 tunai.

Manakala hadiah cabutan bertuah bagi tempat kedua hingga kelima pula masing-masing adalah RM5,000, RM3,000, RM2,000 dan RM1,000.

Menurut Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud pada pagi ini, caj denda RM10 akan dikenakan ke atas akaun pemilik premis yang gagal menjelaskan cukai taksiran selepas tempoh yang ditetapkan berakhir pada 31 Ogos 2021.

“MBSP berharap pemilik premis segera menjelaskan cukai taksiran yang mana ia amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan MBSP dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Seberang Perai pada setiap masa walaupun dalam wabak COVID-19 yang sedang melanda ketika ini.

“(Oleh itu,) diharapkan pemilik premis yang belum menjelaskan cukai taksiran agar membuat bayaran dengan kadar segera,” jelasnya.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod, barisan Ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan berkaitan.

Di samping itu, Rozali memberitahu bahawa pentadbirannya turut menggalakkan kesemua transaksi bayaran dibuat secara dalam talian atau melalui agensi kutipan yang dilantik serta di kiosk Paylink Global.

“Pembayaran juga boleh dibuat di semua kaunter bayaran MBSP di Menara Bandaraya Bandar dekat Perda, Kaunter Cawangan Kampung Jawa, Butterworth dan Kaunter Cawangan Jawi,” jelasnya lagi sambil memberitahu senarai lengkap saluran pembayaran boleh didapati dengan melayari https://www.mbsp.gov.my (saluran pembayaran cukai kadaran).

Dalam perkembangan lain, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis, Setiausaha Bandaraya, pegawai serta kakitangan MBSP atas kurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2021.

Mereka termasuk Rosnani yang dianugerahkan pingat Darjah Johan Negeri, serta Ahli Majlis, S. Galaimani (Pingat Kelakuan Terpuji).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBSP